Dua warga tempatan diberkas bawa PATI

Antara PATI yang ditahan, pada Sabtu.
Antara PATI yang ditahan, pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan dua individu warga tempatan dipercayai membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis peronda lebuh raya telah mengesan sebuah kenderaan yang lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh di kilometer dua Plaza Tol Penchala pada jam 11.20 pagi.

"Anggota polis berkenaan mengarahkan pemandu tersebut berhenti, tetapi kenderaan itu memecut laju di Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP).

"Kami mengejar kenderaan itu sehingga ke Jalan SS2/67 di sini, kereta tersebut berhenti setelah melanggar dua buah kenderaan lain," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemandu dan penumpang hadapan warga tempatan berusia 36 dan 31 tahun keluar dari kereta untuk melarikan diri, namun polis berjaya menahan kedua-dua suspek itu di hadapan bangunan berhampiran.

"Seterusnya, kami membuat pemeriksaan di dalam kereta Naza Citra dan mendapati seramai lapan lelaki dan seorang wanita berumur 22 hingga 43 tahun yang kesemuanya warga asing disyaki PATI serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Menurutnya, polis merampas sebuah kereta Naza Citra, tiga buah telefon bimbit, wang tunai RM500 dan sembilan beg pakaian.

"Siasatan awal mendapati kesemua imigran tidak boleh berbahasa Inggeris atau Melayu itu dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja di kilang sekitar Damansara, Petaling Jaya," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Tambahnya, sembilan warga asing pula ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen (Pindaan) 2002 (Akta 155) dan kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!