Letak calon muda bukan penentu menang PRU15

Noor Azleen
Noor Azleen
A
A
A

PASIR GUDANG - Formula meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilihat kepada kesesuaian dan keperluan sesebuah kawasan kerana tidak semestinya akan menjanjikan kemenangan.

Exco Pemuda UMNO Pusat, Noor Azleen Ambros berkata, parti perlu berhati-hati kerana bukan faktor usia muda sahaja sebaliknya semua perkara perlu diambil kira terutama kemahuan dinamik penduduk setempat.

"Daripada segi penentuan calon kita kena tengok pada lokaliti, kalau sememangnya pemuda UMNO minta bertanding di kawasan itu, tetapi memang tidak ada orang muda yang berkelayakan, kita kena tengok calon lain yang boleh menang.

"Pokoknya apa formula yang parti hendak gunakan dalam memenangi keseluruhan kerusi yang ditandingi kerana kita berdepan PRU," katanya kepada pemberita ketika program Cabaran dan Peluang Barisan Nasional (BN) Di Bandar di Dewan Taman Molek di sini pada malam Sabtu.

Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib.

Ketika ditanya persediaan Pemuda UMNO berdepan PRU15, Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, perkara tersebut sangat subjektif, namun secara umumnya sudah bersedia termasuk akan melihat keadaan di sesebuah kawasan.

"Sebagai contoh, di Parlimen Pasir Gudang terdapat seramai 196,000 pengundi dan daripada jumlah tersebut, 54 peratus adalah orang muda yang berusia bawah 40 tahun ke bawah.

"Perkembangan itu merupakan satu cabaran untuk BN menentukan calon yang layak dan boleh menang pada PRU15," katanya.

Tambah beliau, semua itu perlu dikaji dan diambil kira untuk BN serta UMNO menang di Parlimen Pasir Gudang selepas tewas sebelum ini.

Mengenai cadangan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad supaya kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mengiktiraf Parlimen Pasir Gudang dan Pengerang sebagai daerah baharu di negeri ini, beliau berkata, perkara tersebut tepat pada masanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Scientex 2 berkata, ini kerana populasi di Parlimen Pasir Gudang dan Parlimen Tebrau yang berada di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kini berjumlah lebih 500,000 penduduk.

Katanya, ketika ini Pasir Gudang, Pulai, Iskandar Puteri dan Tebrau semuanya berada di bawah pentadbiran daerah Johor Bahru, maka menjadi satu keperluan untuk mewujudkan satu daerah yang baharu.

"Apabila ada satu daerah yang baharu, pentadbiran akan menjadi lebih tersusun dan berfokus berbanding sekarang yang lebih tertumpu di Johor Bahru. Pasir Gudang adalah kawasan yang pesat membangun, banyak yang boleh kita rancang jika ada daerah baharu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!