Maritim gagalkan cubaan seludup 8,000 liter petrol

Maritim Malaysia Zon Maritim Lahad Datu menggagalkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter minyak petrol ke negara jiran dalam serbuan di jeti pangkalan nelayan Silam Kem di sini kira-kira 3.30 pagi Sabtu. - Foto Maritim Malaysia
Maritim Malaysia Zon Maritim Lahad Datu menggagalkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter minyak petrol ke negara jiran dalam serbuan di jeti pangkalan nelayan Silam Kem di sini kira-kira 3.30 pagi Sabtu. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

LAHAD DATU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menggagalkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter minyak petrol ke negara jiran dalam serbuan di jeti pangkalan nelayan Silam Kem di sini kira-kira 3.30 pagi Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, serbuan berdasarkan maklumat orang awam itu turut menahan empat lelaki berusia 20 hingga 70 tahun dengan seorang daripadanya warga Filipina.

"Ketika serbuan, semua suspek sedang melakukan kerja pemindahan minyak dari lori ke sebuah bot kargo dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Nik Mohd Rizam berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol.

Beliau berkata, bot kargo itu dan lori bersama 40 tong drum mengandungi 8,000 liter minyak petrol dianggar bernilai RM 286,400 dirampas untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat ke Zon Maritim Lahad Datu ditalian 089- 885727 ataupun MERS 999. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!