Sepakat bina gerbang Jalur Gemilang

Ahli Jawatankuasa dan komuniti penduduk Taman Semarak 2C bersama-sama berganding bahu membina pintu gerbang bertemakan Jalur Gemilang. - Foto Bernama.
Ahli Jawatankuasa dan komuniti penduduk Taman Semarak 2C bersama-sama berganding bahu membina pintu gerbang bertemakan Jalur Gemilang. - Foto Bernama.
A
A
A

TAWAU - Kesepakatan, kerjasama serta semangat patriotik yang dipamerkan penduduk Lorong 2C, Taman Semarak, di sini untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini mungkin harus diberi pujian serta diteladan rakyat Malaysia lain.

Ini kerana walaupun dalam situasi ekonomi negara yang mencabar, namun penduduk di lorong berkenaan masih sanggup berkorban masa dan wang ringgit demi menyemarakkan semangat kemerdekaan di peringkat perumahan mereka.

Ahli Jawatankuasa Kibar Jalur Gemilang Komuniti Taman Semarak 2C Julina Ladau,47, berkata penduduk lorong itu sepakat mengumpul duit sehingga mencecah lebih RM3,000 untuk membeli bendera dan menampung lain-lain perbelanjaan ketika membina gerbang buluh merdeka.

"Ini sebenarnya pertama kali komuniti 2C bergotong royong menyemarakkan sambutan kemerdekaan. Sebelum ini setiap kali sambutan kemerdekaan hanya dua atau tiga rumah yang mengibarkan bendera, tetapi pada tahun ini kami membabitkan kira-kira 2,000 penduduk, sepakat sebagai satu keluarga memasang Jalur Gemilang.

"Kami bersyukur dengan kerjasama warga komuniti 2C Taman Semarak ini, tanpa kerjasama, semua yang dilakukan untuk sambutan kemerdekaan ini tidak tercapai, kami bangga dengan diri kami sendiri, harapan kami supaya semua dapat semai dalam diri sendiri, semangat untuk sentiasa cintakan negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kawasan perumahan 2C itu juga memenangi pertandingan Kibar Jalur Gemilang Komuniti Keluarga Malaysia di bawah kendalian Jabatan Penerangan Tawau yang dinilai pada 14 Ogos baru-baru ini.

Seorang penduduk, Salmah Joe, 49, berkata, beliau bersama penduduk lain mengambil masa dua minggu untuk mencantikkan kawasan perumahan 2C dengan hiasan Jalur Gemilang bagi memastikan semangat kemerdekaan itu dapat dirasai penduduk pelbagai lapisan umur.

"Kita buat gerbang buluh, hiasan seperti ini untuk menimbulkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk terutama anak-anak muda supaya mereka tahu dan sedar kepentingan Hari Kebangsaan, penting untuk anak muda sekarang," katanya dan berharap program seumpama itu dapat diadakan setiap kali sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Azlansah Palari, 49, pula berkata aktiviti seumpama itu bukan sahaja meningkatkan semangat patriotik, tetapi juga mengeratkan hubungan kejiranan selepas penduduk bersama-sama bergotong royong menyiapkan pintu gerbang dihiasi Jalur Gemilang itu selama dua minggu.

"Saya dan beberapa penduduk lelaki, dua kali masuk hutan untuk mengambil buluh, gerbang buluh ini kami usaha buat pada waktu malam sehingga 1 pagi, pada waktu siang kami bekerja, idea hiasan gerbang kami serahkan kepada kaum hawa.

"Terima kasih semua komuniti 2C, tanpa kerjasama semua, gerbang tidak berdiri, tiada hiasan Jalur Gemilang, aktiviti ini dapat dilaksana dengan baik kerana ada rasa muhibah," katanya.

Sementara itu Pegawai Penerangan Tawau, Azuary Abdul Azis berkata sambutan Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang di daerah ini sangat menggalakkan di setiap kawasan.

"Pembinaan gerbang Jalur Gemilang serta hiasan di kediaman di Lorong 2C Taman Semarak membuktikan komuniti kawasan itu berterangkuman dan mengamalkan konsep kebersamaan serta mensyukuri nikmat kemerdekaan negara yang dikecapi kini.

"Perkara seumpama ini merupakan elemen yang membentuk Keluarga Malaysia dan sememangnya semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama terserlah dengan kejayaan penduduk mencantikkan kawasan pada masa sama menyemarakkan semangat patriotik," katanya lagi

Menurutnya, Jabatan Penerangan Tawau berharap setiap lapisan masyarakat menyedari bahawa mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap Bulan Kebangsaan itu sebagai tanda cinta dan sayang kepada negara Malaysia. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!