Pemilik akaun Twitter didakwa hina polis dikesan

Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin
Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Polis mengesan seorang pemilik akaun Twitter yang memuat naik ciapan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemilik akaun terbabit memuat naik ciapan mendakwa kenderaan polis melanggar kenderaan awam ketika sedang mengejar suspek di Jalan SS2.

"Susulan ciapan terbabit, pada jam 9.10 malam Ketua Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya membuat laporan bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan mendapati kenyataan itu merujuk kepada kenderaan peronda polis yang terbabit dalam kejadian mengejar suspek yang memandu Naza Citra bersabit laporan di Balai Sea Park.

"Siasatan mengesahkan tiada sebarang kesan calar pada kereta peronda dan kenderaan itu juga tidak melanggar mana-mana kenderaan awam seperti yang didakwa oleh pemilik akaun itu," katanya.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Polis meminta pemilik akaun terbabit hadir ke IPD Petaling Jaya bagi merakam keterangan dan membantu siasatan berhubung ciapan Twitter yang dimuat naik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!