Pegawai imigresen 'halau' orang awam ditukar serta-merta
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah mengambil tindakan serta-merta dengan menukarkan pegawai yang terlibat dalam kejadian pertengkaran dengan orang awam di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall di Shah Alam pada 10 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pegawai berkenaan telah ditukarkan ke bahagian lain.
"Kertas siasatan mengikut peraturan dan prosedur tatatertib penjawat awam juga akan dibuka dengan segera oleh bahagian integriti jabatan ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Khairul Dzaimee berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut.
"Siasatan awal mendapati terdapat unsur-unsur provokasi daripada orang awam berkenaan, namun begitu, tindakan yang diambil oleh pegawai imigresen yang terlibat dalam insiden berkenaan adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu integriti, profesional, mesra," katanya.
Beliau berkata, selain itu, tindakan menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang pegawai imigresen yang merupakan penjawat awam.
"Pegawai imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap profesional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka telah diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, pihaknya berasa kesal dengan tindakan provokasi yang dilaksanakan oleh orang awam berkenaan.
"Pelbagai kemudahan telah disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan dalam talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad.
"Justeru, imigresen menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini," jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai bersikap tidak profesional.
"Dalam masa yang sama jabatan ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan imej dan kredibiliti jabatan ini," katanya.
Pada 19 Ogos lalu, media melaporkan tentang insiden kekecohan melibatkan seorang pegawai imigresen dan seorang lelaki di kaunter Imigresen UTC, berkenaan.
Kekecohan berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu apabila lelaki tersebut difahamkan berang tidak mendapat layanan sewajarnya ketika hadir untuk membuat pasport di fasiliti berkenaan dan video insiden durasi 26 saat itu tular di aplikasi TikTok.
Difahamkan, lelaki berusia 50 tahun itu turut membuat laporan polis susulan insiden tersebut di Balai Polis Sri Muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!