Ada kalanya kita keseorangan: Najib
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan bahawa beliau berasa keseorangan selain sedih dengan fitnah dan penganiayaan yang menimpa dirinya.
Najib berkata, perjalanan hidup setiap insan adalah berbeza antara satu sama lain.
“Kita sentiasa doakan dan harap yang terbaik dalam kehidupan kita.
“Ada kalanya kita merasa usaha dan kebaikan yang kita lakukan sia-sia. Ada kalanya kita merasa susah hati dengan ujian dan dugaan.
“Dengan fitnah dan penganiayaan, dengan harapan yang diakhiri dengan kegagalan,” katanya dalam catatan di laman Facebook pada Ahad.
Najib turut meluahkan keikhlasannya selama ini dibalas dengan pengkhianatan.
“Dengan keikhlasan yang dibalas dengan pengkhianatan.
“Ada kalanya kita merasa kita... keseorangan,” ujarnya.
Pada Selasa ini, rayuan terakhir Najib berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd susulan keengganan peguamnya untuk membuat sebarang hujahan bagi membela bekas Perdana Menteri itu.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik sekali lagi memberitahu Mahkamah Persekutuan pada Jumaat bahawa beliau tidak akan membuat sebarang hujahan dalam prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana tersebut.
Bagaimanapun Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan bahawa pihak pembelaan mempunyai tiga hari untuk membuat persediaan bagi hujahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!