UPSI akhiri penantian emas hoki SUKIPT 2022
PASUKAN hoki lelaki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengakhiri penantian memenangi pingat emas di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas mengatasi juara bertahan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam aksi final, pada Ahad.
Kejayaan itu hadir selepas skuad Ahmad Nizam Yusof mencatat kemenangan 2-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik tamat masa sebenar permainan dalam aksi di Stadium Hoki Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Menurut Ahmad Nizam, beliau berpuas hati dengan usaha dipamerkan anak-anak buahnya selama ini sambil menyifatkan ia kejayaan paling manis buatnya sepanjang mengendalikan pasukan tersebut.
“Kita tahu UPM adalah pasukan yang disegani dengan barisan pemain mereka yang hebat. Tapi, pasukan kami pun tidak kurang hebat juga dan setiap pemain cukup berdisiplin.
“Kejayaan ini juga mencipta sejarah buat UPSI disebabkan ini kali pertama kami masuk final dan kali pertama dapat pingat emas sepanjang lima edisi SUKIPT,” kata beliau.
Tambahnya, kejayaan skuad hoki lelaki UPSI kali ini dipacu disiplin serta semangat juang tinggi dalam kalangan pemain.
“Alhamdulillah mereka ikut sebagaimana perancangan yang sudah ditetapkan dan berjaya mengawal permainan dengan baik.
“Tahniah kepada pemain kerana mereka bermain bermati-matian dalam temasya kali ini. Itu adalah rahsia kemenangan kali ini,” katanya.
Sementara itu, saingan dalam kategori wanita pula menyaksikan Universiti Teknologi Nasional (UNITEN) muncul juara selepas menewaskan UPM 1-0 dalam aksi final.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!