Letupan kecil cetus suasana cemas di Pavilion
SHAH ALAM - Letupan kecil yang berlaku di belakang pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) berlangsung di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur petang Ahad mencetuskan suasana cemas.
Kejadian itu dikongsi oleh pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi dalam satu video berdurasi lebih dua minit di laman sosialnya.
Percikan api dan asap tebal jelas kelihatan akibat letupan dipercayai berpunca daripada papan tayangan LED yang dipasang di pentas tersebut.
Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil yang sedang menunggu giliran berjalan di pentas peragaan mengakui terkejut dengan kejadian tersebut.
"Allah, apa benda ni? Macam ada benda meletup. Kami di Pavi dan semua orang kelam kabut," katanya dalam video tersebut.
Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal apabila Polis Bantuan Pavilion bertindak pantas menggunakan pemadam api untuk memadamkan percikan api tersebut.
Setakat ini, masih tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak pengurusan Pavilion Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!