Zakat ke atas pemilik saham

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

KALIMAH ‘saham’ berasal dari perkataan Arab yang bermaksud bahagian yang dimiliki.

Saham mewakili sebahagian modal sah pemilik dalam perniagaan sesebuah syarikat yang tersenarai di pasaran saham Bursa Malaysia.

Pemilik saham merupakan pemilik syarikat dan berkongsi keuntungan atau kerugian sesebuah syarikat.

Prestasi sesebuah syarikat biasanya diukur melalui dividen yang diagihkan dan juga harga atau nilai saham di pasaran saham.

Wajib Zakat Saham

Menurut Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), para ulama telah menetapkan saham itu wajib dizakatkan oleh kerana nilai dan kekayaan seseorang boleh dibentuk dengan aktiviti jual-beli atau memiliki saham.

Ia diambil berdasarkan dalil al-Quran surah Al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu”.

Syarat Wajib Zakat Saham

Artikel Berkaitan:

Islam: Zakat diwajibkan ke atas pemilik saham yang beragama Islam sahaja. Sekiranya mereka yang tidak beragama Islam menunaikan zakat, zakat tersebut tidak sah kerana zakat mempunyai ciri-ciri ibadah.

Milik Sempurna: Pemilik saham mempunyai kuasa menjual dan memperoleh manfaat daripada portfolio saham atau pelaburan. Pemilik saham mempunyai hak untuk mengendalikan pemilikan saham tersebut secara bebas.

Milik Pihak Tertentu: Sekiranya saham atau pelaburan yang dimiliki masjid, surau, dana-dana untuk maslahah am dan seumpamanya, tidak diwajibkan zakat.

Cukup Nisab: Nisab portfolio pelaburan ialah nilaian yang sama dengan atau 85 gram emas (20 mithqal). Apabila nilai portfolio pelaburan bersamaan atau melebihi nisab maka ianya diwajibkan zakat. Zakat tidak dikenakan terhadap harta kecuali selepas mencukupi nisab.

Cukup Haul: Haul bagi saham dan pelaburan lain hendaklah genap tempoh satu tahun pemilikan portfolio pelaburan. Ini bererti, harta yang cukup nisabnya hendaklah melalui tempoh selama dua belas bulan sebelum dikenakan zakat terhadapnya.

Halal: Saham yang diterbitkan untuk operasi perniagaan teras yang halal. Syarikat yang tidak diklasifikasikan patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak diwajibkan zakat, ia hanya boleh dizakatkan kepada modal asal pelaburan sahaja.

Namun begitu, orang Islam yang mempunyai pegangan saham dalam syarikat yang tidak patuh syariah digalakkan untuk melepaskan pegangan saham tersebut dan sebarang keuntungan daripada penjualan pegangan saham tersebut hendaklah dilupuskan dengan cara menyalurkan kepada Baitulmal atau badan kebajikan.

Zakat saham boleh di bayar secara dalam talian (online), atau ke mana-mana pusat pungutan zakat yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri.

Pelabur dan pedagang juga boleh melayari laman sesawang Majlis Agama Islam Negeri atau bertanya terus dengan pusat pungutan zakat jika ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang pengiraan zakat saham.

Dengan mengeluarkan zakat, kita bukan sahaja dapat membantu ramai asnaf tetapi amalan zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji kita untuk menjadi lebih pemurah, membuang sifat kedekut dan bakhil.

Pembayar zakat pasti menyedari bahawa amalan berzakat itu akan menambahkan hartanya sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya dalam Riwayat Muslim (2588) yang bermaksud, “Zakat itu tidak mengurangi harta.”

* Datuk Mohd Asri Ahmad ialah Pengasas Asri Ahmad Academy

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!