Anggota kabinet perlu kerja lebih kuat
ANGGOTA kabinet ‘Keluarga Malaysia’ seperti yang diketahui umum dibarisi menteri dan timbalan menteri paling ramai dalam sejarah negara.
Keseluruhannya ialah seramai 70 orang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama 31 menteri yang dibantu 38 timbalan menteri dengan portfolio masing-masing.
Jumlah anggota kabinet itu dikekalkan Ismail Sabri selepas beliau mengambil alih pentadbiran negara daripada Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 21 Ogos tahun lalu.
Disebabkan saiz kabinet yang besar itu, pentadbiran Ismail Sabri sebelum ini tidak terlepas menerima kritikan, antaranya kerajaan dikatakan membazirkan wang rakyat apabila melantik sebegitu ramai menteri dan timbalan menteri.
Genap setahun pentadbirannya, Ismail Sabri mengakui barisan anggota kabinet yang diterajui beliau ada yang menunjukkan prestasi bagus, ada yang sebaliknya.
Jelas beliau, prestasi setiap barisan jemaah menteri itu diukur daripada pelbagai aspek termasuklah usaha menangani pelbagai isu berbangkit khususnya melibatkan kementerian masing-masing.
“Secara umumnya saya melihat pencapaian kementerian dan menteri bukan sempurna walaupun ada menunjukkan prestasi yang bagus, (ada) yang kurang baik,” kata beliau menerusi wawancara khas sempena setahun pentadbirannya yang disiarkan Sinar Harian pada Ahad.
Apa yang diakui Ahli Parlimen Bera itu sepatutnya diambil sebagai satu teguran buat menteri dan timbalan menteri terutama yang masih tidak berjaya menunjukkan prestasi yang bagus.
Kejayaan
Mengimbas semula pencapaian kabinet, sebenarnya banyak juga isu melibatkan rakyat berjaya diselesaikan. Isu-isu berkenaan antaranya berkaitan lonjakan harga sesetengah barang keperluan seperti ayam mentah dan minyak masak yang kini sudah mulai menurun.
Misalnya, harga ayam mentah yang dahulu melambung naik sehingga RM13 sekilogram, kini sudah turun hampir sekali ganda, bahkan sesetengah tempat harganya cuma sekitar RM6 dan RM7 sekilogram, sekali gus melegakan rakyat.
Selain itu, memahami masalah kos sara hidup yang menghimpit rakyat akibat inflasi, Kementerian Kewangan juga menambah bantuan tunai di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
Bahkan, Perdana Menteri pada Jun lalu mengumumkan tambahan bayaran RM100 untuk isi rumah dan RM50 untuk individu bujang yang seterusnya menambahkan lagi kuasa beli rakyat.
Kejayaan paling besar kerajaan ialah menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila berjaya menjadikan Malaysia sebagai antara negara mencatatkan kadar vaksinasi Covid-19 terpantas.
Hasil kerja keras semua pihak terutama KKM dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 (PICK), negara masuk ke fasa peralihan endemik pada 1 April lalu.
Kejayaan-kejayaan yang telah dicapai ini seharusnya menjadi pembakar semangat kepada seluruh anggota kabinet untuk terus menunjukkan prestasi cemerlang.
Jadi, biarlah peruntukan besar untuk membayar gaji dan elaun jemaah menteri itu berbaloi dengan hasilnya kepada rakyat, atau dengan kata lain bukanlah ‘makan gaji buta’.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar, tiada masa lagi untuk menteri dan timbalan menteri ‘berbulan madu’ atau duduk di kerusi empuk sambil ‘goyang kaki’.
Menjadi tugas semua anggota kabinet yang diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab untuk membantu Perdana Menteri menyelesaikan atau sekurang-kurangkan mengurangkan beban serta masalah yang menghimpit rakyat ketika ini.
Ismail Sabri juga menjelaskan bahawa petunjuk utama dalam menentukan bilakah masanya untuk beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen adalah apabila adanya keseimbangan antara isu ekonomi dan rakyat.
Oleh itu, baki masa yang ada sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jemaah kabinet sepatutnya melipat gandakan usaha dan bekerja keras, sekali gus melaksanakan amanah yang diletakkan di bahu mereka dengan sebaik-baiknya.
Bukannya sibuk bekerja keras melobi untuk mendapatkan kerusi pada PRU15 nanti.
*Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!