10 tahun ‘simpan’ sampah
KLANG - Kira-kira 20 pemilik kediaman di Lorong Tok Sham, Kampung Delek, di sini, berang dengan jiran mereka yang menjadikan halaman dan rumahnya tempat melonggokkan barangan kitar semula sejak 10 tahun lalu.
Tindakan lelaki berusia 60-an itu bukan sahaja mengotorkan kawasan tetapi turut menjadi punca pembiakan nyamuk aedes.
Mereka mendakwa, lelaki itu memenuhi halaman rumah dengan plastik, kotak, besi dan pelbagai jenis barangan terbuang.
Bukan isu peribadi
Penduduk, Mohd Zaki, 58, berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai isu peribadi sebaliknya lebih kepada tanggungjawab terhadap keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Jabatan Kesihatan pernah datang dan memeriksa kawasan ini tetapi yang peliknya lelaki itu masih aktif mengumpul sampah,” katanya.
Justeru, dia berharap pihak berkuasa tempatan turun padang dan dapat mengambil tindakan.
“Apa yang diharapkan ialah pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu demi memastikan perkara ini tidak berlarutan sehingga mengundang lebih banyak masalah.
“Ini demi keselamatan dan kesihatan penduduk di sini,” katanya.
Penduduk yang dikenali sebagai Suraya, 53, berkata, dia melihat jirannya membawa balik barang terpakai sejak tinggal di situ lebih 10 tahun lalu.
Menurutnya, tabiat warga emas itu mengumpul barang mengakibatkan ‘sampah’ semakin menimbun di depan rumah.
“Semakin hari timbunan sampah itu semakin meninggi dan kami memang tak selesa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Suraya turut mendakwa, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab jirannya itu, kesihatan dan keselamatan penduduk turut terancam dengan tikus dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Ramai antara kami dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti denggi. Ada yang terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) gara-gara sikapnya. Sampai bila kami mampu bertahan dengan sikap pentingkan dirinya itu,” katanya.
Seorang lagi jiran, dikenali Idris, 60, mendakwa lelaki berkenaan terus melakukan rutinnya walaupun sudah banyak kali ditegur.
Katanya, warga emas itu tidak peduli nasihat penduduk sebaliknya mereka dimarahi kerana dikatakan masuk campur urusan hariannya.
“Bukan kami suka jaga tepi kain orang, tapi tindakannya itu menyusahkan orang lain. Kami dah tak tahan dengan perbuatannya itu
“Kami tak kisah jika dia nak kumpul barang-barang tapi biarlah dengan cara yang betul.
“Jangan biarkan sampah di situ lama-lama sampai dah menggunung dan jadi takungan air. Yang dapat malang kami (jiran) hingga ada yang keluar masuk hospital.
“Kami juga hairan macam mana dia boleh tinggal dengan keadaan macam tu,” katanya.
MPK sita sampah
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, PBT itu sudah memantau kawasan berkenaan.
Menurutnya, notis kacau ganggu telah diserahkan kepada pemilik terbabit supaya melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan.
“Jabatan Kesihatan juga sudah menyerahkan notis kacau ganggu kepada pemilik terbabit pada 7 November lalu dan mengarahkan warga emas itu membersihkan kawasan sekeliling bagi membasmi tempat pembiakan sampah.
“Semalam (kelmarin), sekali lagi kita membuat pemeriksaan di rumah itu dan mendapati pemilik terbabit masih berdegil, malah sampah kitar semula semakin bertambah,” katanya.
Justeru, kata beliau, MPK akan menjalankan operasi sitaan dalam masa terdekat.
“Kita akan menyita sampah dan kosnya akan ditanggung pemilik berkenaan.
“Kami memandang serius perkara ini kerana ia tidak sepatutnya berlaku kepada individu yang hidup bermasyarakat terutama di kawasan bandar dan perumahan seperti ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!