Guru rugi RM7,000 ditipu ejen pelancongan

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang guru berputih mata selepas ditipu seorang ejen pelancongan melalui Facebook melibatkan kerugian sehingga RM7,000.

Guru berusia 47 tahun itu mendakwa, dia ditipu seorang wanita dikenali sebagai Hajah Siti Aida yang menawarkan pakej pelancongan melalui Jom Cuti Helo ke Maldives, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita dari Sungai Dua itu menerima mesej melalui Facebook dari suspek yang mendakwa pemilik syarikat pelancongan.

Menurutnya, suspek mendakwa syarikatnya itu menawarkan pakej pelancongan dalam dan luar negara dengan harga yang murah.

"Mangsa yang berminat telah membuat bayaran melalui akaun banknya secara ansuran sejak beberapa bulan sehingga 29 Oktober 2018 lalu dengan jumlah keseluruhan RM7,000 ke dalam akaun suspek.

"Ia kononnya sebagai bayaran bagi membolehkan mangsa menyertai pakej pelancongan tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, penerbangan tersebut sepatutnya berlepas pada 24 Mac lalu dan pulang ke tanah air pada 29 Mac namun suspek dikatakan telah menghilangkan diri.

"Mangsa bersama tiga anaknya terpaksa menempah pakej pelancongan yang lain dua minggu sebelum tarikh tersebut (24 Mac) kerana suspek telah menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi.

Artikel Berkaitan:

"Selepas kejadian itu, suspek gagal dihubungi hingga kini dan mangsa turut menghubungi syarikat pelancongan tempat suspek bekerja namun gagal. Mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis semalam," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa mendakwa, selain dirinya, ramai lagi turut terlibat dalam pakej pelancongan tersebut

“Polis percaya modus operandi suspek adalah dengan menjual pakej pelancongan terbuka dan tiket dengan harga yang murah, yang mana mangsa perlu menempah lebih awal dari tarikh penerbangan kononnya untuk mendapatkan harga murah.

"Sehubungan itu, polis sedang mengesan seorang wanita dikenali sebagai Siti Aida Ashari, yang alamat terakhirnya di Seri Kembangan, Selangor bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!