Pemandu treler tahan azab tersepit 20 minit
TANJONG KARANG - Seorang pemandu treler terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit apabila kaki kirinya tersepit selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lagi treler di Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran simpang Tali Air 3 Sungai Burong di sini malam Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa berusia 24 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.25 malam dan terus dikejarkan ke tempat kejadian.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dibantu BBP Sekinchan melakukan operasi mengeluarkan mangsa tersepit.
"Bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengumpil dan memotong bahagian kenderaan terbabit sebelum mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, kemalangan membabitkan dua treler jenis Hino membawa muatan kapur dipandu mangsa dan sebuah treler jenis Scania.
"Kejadian dipercayai berpunca apabila pemandu Hino dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Tanjong Karang melanggar Scania keluar simpang menghala ke Teluk Intan," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, pemandu Scania yang membawa beras hancur tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Operasi keseluruhan tamat pada jam 1.02 pagi Isnin," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!