Perang Ukraine-Rusia: Sektor pelabuhan negara turut terjejas
PASIR GUDANG - Sektor pelabuhan di negara ini turut terjejas dengan perang Ukraine-Rusia pada tahun ini sama seperti pelabuhan global yang lain.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkembangan tersebut mengakibatkan beberapa pelabuhan di negara ini tidak akan mengambil barangan tertentu.
"Keadaan ini mengganggu kelancaran penghantaran kargo sekali gus menjejaskan aktiviti di pelabuhan dunia tidak seperti tahun lalu yang turut dirasai pelabuhan-pelabuhan di negara ini.
"Walaupun pelabuhan dunia terkesan akibat perang Ukraine-Rusia ini, saya mahu kita mampu menunjukkan prestasi positif.
"Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri khususnya, sebagai pelabuhan 'transhipment' paling utama di rantau ini, perlu kekal berdaya saing kerana kedudukannya yang strategik serta kecekapan mengendalikan apa juga kontena khususnya untuk transhipment," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Cares Keluarga Malaysia di Pelabuhan Johor pada Isnin.
Turut hadir Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal dan Pengurus Besar LPJ, Kamaruzaman Munasir.
Ka Sion berkata, kementeriannya yakin PTP mampu mengekalkan prestasi tahun lalu dengan mengendalikan 11.2 juta TEU (twenty equivalent units).
Pencapaian itu katanya, boleh dicapai meskipun terkena tempias disebabkan perang Ukraine-Rusia yang berlarutan ketika ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada 15 pelabuhan tersibuk di dunia.
"Berdasarkan prestasi PTP setakat semalam, pelabuhan itu telah mengendalikan 6.89 juta TEU yang dijangka akan menjangkau 7 juta TEU pada hujung bulan ini.
"Melihat daripada segi trend, penghantaran kontena meningkat pada empat bulan terakhir disebabkan musim perayaan seperti Krismas, maka kita yakin mampu mencapai prestasi 11.2 juta TEU pada tahun lalu," kata Ka Sion.
Pihaknya meletakkan sasaran itu untuk dipenuhi sekali gus membuktikan kemampuan PTP yang menunjukkan peningkatan ketika kebanyakan pelabuhan dunia lain terkesan.
Pada tahun lalu, PTP mencatatkan jumlah kendalian sebanyak 11.2 juta TEU dengan nilai pertumbuhan 14 peratus, berbanding 9.8 juta TEU pada tahun sebelumnya.
Pencapaian itu meletakkan PTP antara 20 pelabuhan terbaik dunia dengan merekodkan pertumbuhan 1.4 juta TEU.
Sejak ditubuhkan, PTP telah berjaya mengendalikan lebih 148 juta TEU manakala Pelabuhan Pasir Gudang yang menjadi hub penyimpanan minyak kelapa sawit terbesar dunia mengendalikan 21 juta TEU.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!