Penjual buah dikenakan bon berkelakuan baik
MELAKA - Seorang penjual buah terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun atas kesalahan melakukan rusuhan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan, tujuh tahun lalu.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu ke atas Tan Boon Jin, 25, mengikut Seksyen 137A Kanun Prosedur Jenayah.
Beliau juga menetapkan jaminan RM1,000 bagi bon tingkah laku yang baik dengan seorang penjamin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama individu yang masih bebas didakwa merusuh sehingga mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
Tindakan itu dilakukan di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di Jalan Cheng Baru di sini, kira-kira jam 9 malam, 2 September 2015.
Tertuduh yang bekerja di Singapura didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Boon Jin yang diwakili peguam, Kent Tan Chiw Teng merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan ketika kejadian anak guamnya berusia 17 tahun dan telah menyesali perbuatan itu.
Malah menurutnya, tertuduh yang dalam proses untuk mendapatkan taraf penduduk tetap Singapura juga perlu menyara ibu bapanya yang berusia dan mengidap sakit kronik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan menggunakan senjata dan mendatangkan kegusaran terhadap orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!