PRU15: Radzi tepis desas-desus jadi calon Parlimen Putrajaya

Mohd Radzi ketika sidang media pada Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan DELIMA 'Agenda Digital Kita' di SMK Putrajaya Presint 8 (1) hari ini. Foto Bernama
Mohd Radzi ketika sidang media pada Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan DELIMA 'Agenda Digital Kita' di SMK Putrajaya Presint 8 (1) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin hari ini menepis desas-desus akan bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kekerapan menghadiri pelbagai program di pusat pentadbiran kerajaan itu sejak akhir-akhir ini.

Mohd Radzi yang pernah bertanding pada PRU14 di Parlimen Ketereh, Kelantan pada 2018 itu berkata, kehadirannya pada setiap program adalah bagi memenuhi jemputan kerana ia adalah anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu itu berkata, Putrajaya dipilih sebagai lokasi bagi setiap program bagi memudahkan pergerakan logistik dari KPM dan menjimatkan masa.

"Ia (program KPM) diadakan di Putrajaya sebab banyak sangat program dan kita perlu cari lokasi dekat (KPM), mudahkan pergerakan. Itu penting.

"Dalam bulan ini (Ogos) hingga September, hampir hari-hari akan ada program atau pelancaran perkara baharu bagi mengisi slot ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’," katanya pada sidang media selepas melancarkan platform pembelajaran digital KPM Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA): Agenda Digital Kita di sini hari ini.

Sepanjang minggu lepas, Mohd Radzi telah menghadiri beberapa majlis di Putrajaya antaranya Kejohanan Bola Tampar Amatur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 16 (1) pada 7 Ogos, Showcase Transformasi Pendidikan di Pusat Beli Belah Alamanda (13 Ogos), program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya 14 (1) (18 Ogos), Majlis Transformasi Pendidikan Pemerkasaan Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) di SMK Presint 18 (1) (20 Ogos) dan hari ini pelancaran DELIMA KPM di SMK Putrajaya Presint 8 (1).

Timbul desas-desus Mohd Radzi sedang ‘mengintai’ kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU15 selepas tewas pada PRU14 di tangan penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Seri Annuar Musa.

Parlimen Putrajaya disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi itu selama empat penggal. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!