Tanam nanas atas bumbung rumah
KUANTAN - Memandangkan tidak mempunyai tanah untuk bercucuk tanam, seorang lelaki begitu kreatif menjadikan bumbung rumahnya sebagai tapak untuk menanam nanas dalam polibeg.
Pengerusi Persatuan Penduduk Springvale Residences P7 Kota SAS Izudin Muhamad Amin berkata, dia mengusahakan tanaman itu di atas bumbung kediamannya sebagai menyahut seruan kerajaan menangani inflasi.
“Minat untuk menanam nanas dalam polibeg di atas bumbung rumah datang kerana hendak menyahut seruan kerajaan melalui Program Pertanian Bandar.
“Usaha ini sebagai langkah menangani pelbagai perbelanjaan harian yang kian bertambah berikutan kenaikan harga barangan. Sebanyak 114 pokok nanas jenis MD2 yang saya tanam pada Oktober tahun lalu sedang membesar dan menunggu untuk dituai akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Usahawan pelancongan itu berkata, diharap usahanya yang bermula daripada saranan rakan-rakan itu dapat menambah pendapatan bagi menampung kos sara hidupnya.
“Rakan-rakan syor saya bercucuk tanam di atas bumbung menggunakan polibeg.
“Saya sahut nasihat mereka walaupun saya langsung tiada pengetahuan dan pengalaman dalam pertanian. Saya cuma belajar daripada mereka dan internet.
“Akhirnya saya pilih nanas sebagai tanaman untuk menambah pendapatan,” katanya.
Menurut Izudin lagi, dia memilih tanaman nanas kerana tanaman itu mudah diurus dan dijaga.
"Paling penting tanaman nanas memerlukan penjagaan dari segi baja dan campuran tanah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!