'Kalau tidak ada kecaman, kadang-kadang kita lupa diri’

Aleeya ketika menjadi tetamu jemputan pada program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk Kisah Susah Jadi Senang anjuran Sinar Harian pada Isnin.
Aleeya ketika menjadi tetamu jemputan pada program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk Kisah Susah Jadi Senang anjuran Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Membesar dalam keadaan serba kekurangan, kini usahawan dan pempengaruh media sosial, Aleeya Zailan seorang yang kreatif dan kental dalam mendepani cabaran bergelar ahli perniagaan.

Bermula dengan perniagaan sambal, kini beliau bergelar usahawan kosmetik yang berjaya di Malaysia.

Akuinya, komen-komen netizen di media sosial membuatkan kehidupannya dalam dunia perniagaan lebih membina.

Menurutnya, tanpa kata-kata negatif daripada netizen, beliau mungkin akan menjadi seorang yang bangga diri sehingga terlupa apa yang sepatutnya dilakukan.

“Perkara ini sebenarnya bagus untuk saya kerana untuk kita berjaya, kita tak semestinya mendengar orang memuji kita.

“Kalau tidak ada kecaman, kadang-kadang kita lupa diri dan terlalu membangga diri sehingga terlupa apa yang patut kita buat.

“Jadi kecaman yang dikeluarkan netizen memang sangat membantu dalam dunia bisnes. Kalau kita tak berada di tempat yang susah kita rasa perkara negatif, kita mungkin tidak akan berada di tempat kita yang sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan pada program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk Kisah Susah Jadi Senang anjuran Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ditanya pandangan peribadi mengenai budaya rasuah di negara, Aleeya berkata, amalan menolak budaya tersebut seharusnya bermula dari rumah.

Beliau berkata, ibu bapa perlu menitikberatkan perkara yang halal dan haram kepada anak-anak sejak kecil lagi.

“Bila anak-anak dah tahu apa yang halal apa yang haram, maka dari awal mereka akan takut untuk terlibat dengan amalan yang tidak sihat ini.

“Macam kita buat kempen, kalau kempen tersebut tidak dititikberatkan di rumah, maka susah untuk mendidik mereka (anak-anak) apabila sudah besar kelak. Jadi semuanya perlu bermula dari rumah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!