MSN tiada kuasa gugur sukan di Sukma

Datuk Ahmad Shapawi Ismail
Datuk Ahmad Shapawi Ismail
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai kuasa untuk menggugurkan sesuatu jenis sukan daripada Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur yang bakal bermula 16 September ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihak bertanggungjawab menetapkan perkara dasar dan peraturan Sukma melalui Peraturan Tetap dan Peraturan Am Sukan Malaysia adalah Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut dianggotai beberapa pemegang taruh sukan lain seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Institut Sukan Negara (ISN).

"MSN (sebelum ini) telah diberi mandat oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada mesyuarat bertarikh 28 Oktober 2021 untuk mengambil alih tanggungjawab tuan rumah Sukma 2022 setelah Johor memulangkan hak penganjuran ekoran Covid-19.

"Namun Johor telah menawarkan diri (semula) untuk menjadi tuan rumah pada 2024, amalan tersebut menafikan dakwaan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) memiliki kuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, pada 21 Mac lepas, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma bersetuju kesemua 16 sukan teras dan 15 sukan pilihan yang ditawarkan di Sukma Johor 2022 terus dipertandingkan.

Jelasnya, sukan taekwondo yang juga satu daripada kategori sukan pilihan tidak dipilih oleh tuan rumah Johor sejak awal lagi dan turut dipersetujui oleh majoriti negeri-negeri terlibat.

Semalam, Persatuan Taekwondo Malaysia (TM) telah memohon kepada MSN supaya acara taekwondo kembali dipertandingkan dalam Sukma di Kuala Lumpur tahun ini namun mendakwa perkara itu ditolak.

Artikel Berkaitan:

Presidennya, Azizul Annuar Adenan berkata, penolakan permohonan terbabit dengan alasan keputusan itu sudah disahkan dan tidak dapat diubah lagi di samping Sukma akan berlangsung tidak lama lagi.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, MSN bagaimanapun sedia membantu atlet dan persatuan induk TM bagi memperkasakan sukan itu dari segi program latihan.

"Objektif utama penganjuran Sukma adalah untuk menggalakkan penyertaan seramai mungkin atlet muda berbakat yang boleh diketengahkan untuk memikul cabaran negara di pentas antarabangsa.

"Namun begitu, Sukma bukanlah satu-satunya kejohanan malahan kita bersedia membantu TM mengendalikan kejohanan remaja bertaraf remaja kebangsaan bagi membuka ruang pertandingan lebih luas lagi,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!