Zii Jia mudah ke pusingan kedua

Zii jia
Zii jia
A
A
A
[DIKEMAS KINI] Jaguh perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia mudah menumbangkan pemain bukan pilihan Brice Leverdez pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun hari ini.

Pemain profesional di ranking kelima dunia itu menampilkan aksi bertenaga apabila menundukkan pemain Perancis 21-9, 21-13 dalam pertarungan berlangsung 39 minit di Tokyo Metropolitan Gymnasium.

Zii Jia yang turun selaku pilihan kelima kejohanan akan berdepan pemain Portugal Bernardo Atilano pada pusingan kedua esok.

Atilano diberikan laluan mudah selepas pemain Jerman Max Weisskirchen menarik diri.

Turut melangkah ke pusingan kedua, beregu profesional wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang menewaskan pasangan dari Jerman Linda Efler-Isabel Lohau 21-17, 21-15.

Beregu negara di ranking ke-26 dunia yang dijadual berdepan gandingan Kanada, Rachel Honderich-Kristen Tsai pada pusingan kedua bagaimanapun mendapat laluan mudah ke pusingan ketiga selepas lawan mereka menarik diri.

Vivian-Chiew Sien dijangka berdepan sama ada pilihan ketiga kejohanan dari Korea Selatan Lee So Hee-Shing Seung Chan atau pasangan India Pooja Dandu-Sanjana Santosh yang bertemu dalam satu lagi aksi pusingan kedua.

Sementara itu, beregu campuran negara, Cheng Tan Jie-Peck Yen Wei turut melangkah ke pusingan kedua selepas cemerlang menumpaskan pasangan Amerika Syarikat Mathew Forgarty-Isabel Zhong 21-8, 19-2.

Pasangan yang berada di kedudukan ke-28 dunia itu dijadual bertemu pemain pilihan keempat Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China. - Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!