Anak CFO Dialog Group Bhd nafi ibu terlibat kontroversi LCS

Tangkap layar ciapan Syaza Nazura di Twitter pada Isnin.
Tangkap layar ciapan Syaza Nazura di Twitter pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak perempuan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di syarikat minyak dan gas, Dialog Group Bhd, Zainab Mohd Salleh menafikan dakwaan bahawa ibunya adalah wanita yang dinamakan terbabit dalam kontroversi projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Syaza Nazura berkata, nama Zainab Mohd Salleh yang terkandung dalam laporan Kertas Paradise berkaitan LCS merujuk kepada isteri Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Menurutnya, kebetulan nama ibunya sama dengan nama individu yang dinyatakan dalam laporan itu, namun hakikatnya kedua-dua mereka adalah berbeza.

"Zainab Mohd Salleh dalam Paradise Papers merujuk kepada pasangan Ahli Parlimen Mersing dan bukannya CFO Dialog Group Bhd.

"Zainab berkahwin dengan Perunding Ginekologi dan Onkologi di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr Noor Azmi Mat Adenan," ciapnya menerusi Twitter pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai membalas ciapan Twitter Presiden Parti Aspirasi Sains Malaysia, Kenneth Chai yang mendakwa Zainab yang bertugas di firma berkenaan adalah wanita terlibat dalam dakwaan salah laku berkaitan projek LCS.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan skandal LCS melibatkan Abd Latiff dan ahli keluarganya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, ahli keluarga yang dimaksudkannya adalah isteri kepada Abd Latiff iaitu individu bernama Zainab Mohd Salleh.

Artikel Berkaitan:

Syaza Nazura berkata, apabila Kenneth melakukan carian di enjin carian Google, nama dan maklumat ibunya mungkin perkara pertama yang muncul di Google tetapi ibunya bukan satu-satunya individu yang tersenarai.

"Kamu seorang ahli sains dan penyelidik. Sila lakukan penyelidikan awak dengan betul sebelum berusaha keras untuk menjadi orang pertama yang 'membongkar' kebenaran.

"Padamkan tweet kamu dan siarkan permohonan maaf secara terbuka dan minta pengikut kamu yang juga telah memfitnah nama ibu saya untuk meminta maaf," ujarnya.

Bagaimanapun, Syaza Nazura berkata, dia tidak mengatakan Rafizi salah orang.

"Apa yang Rafizi cakap itu, betul tak betul saya tak kisah. Saya kisah bila orang sebut dan guna nama serta gambar mak saya. Betul ke tak Zainab Salleh lain, saya tak tahu," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!