Pelajar trauma jadi mangsa jenayah seksual rakan asrama
MELAKA - Polis menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat seorang wanita mendakwa anaknya dipaksa melakukan seks oral oleh rakan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pelajar tingkatan dua itu juga didakwa cuba mencederakan diri dengan pisau selepas tertekan dengan tindakan jijik rakan asramanya pada Jumaat lalu.
"Berdasarkan laporan polis dibuat ibu mangsa berusia 37 tahun, kejadian itu terbongkar selepas anak lelakinya kelihatan murung dan cuba mencederakan diri.
'Ibu mangsa mendakwa, rakan asrama sekolah anaknya memaksa mangsa melakukan seks oral hingga menyebabkan mangsa berusia 14 tahun ketakutan dan trauma.
"Mangsa kemudian dibawa keluarganya ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
"Bagaimanapun kes masih dalam siasatan kerana kita belum mengambil rakaman percakapan daripada mangsa terbabit yang masih mendapatkan rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
Katanya, setakat ini polis belum menahan mana-mana pelajar disyaki terlibat untuk siasatan.
"Kes diserah kepada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk siasatan lanjut," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!