Polis buru lelaki berhentikan kereta, lagak samseng di lebuh raya

Tangkap layar kejadian seorang lelaki membaling objek ke arah kereta dinaiki pasangan suami isteri dalam kejadian di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), pada Ahad
Tangkap layar kejadian seorang lelaki membaling objek ke arah kereta dinaiki pasangan suami isteri dalam kejadian di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang mengesan seorang individu selepas dipercayai bertindak seperti samseng dengan memaki hamun dan membaling objek ke arah kereta dinaiki pasangan suami isteri dalam kejadian di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), pada Ahad.

Tindakan individu terbabit yang dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan dinaiki mangsa tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6 kira-kira jam 4.20 petang, pada hari sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang berumur 41 tahun dan bekerja sebagai pengurus operasi sebuah syarikat itu memandu kenderaan bersama suaminya dari Taman Melawati ke Shah Alam.

"Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, kenderaan mangsa ditahan oleh seorang lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Honda berwarna putih.

"Suspek bertindak memberhentikan kenderaannya di hadapan kenderaan mangsa di laluan tengah lebuh raya berkenaan," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Katanya, suspek dikatakan memarahi mangsa selain mengeluarkan kata-kata kesat.

"Suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati, mendakwa mangsa sebelum itu telah menukar lorong.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum beredar, suspek bertindak membaling objek ke arah kereta mangsa," katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, kereta dinaiki suspek dimiliki oleh seorang wanita tempatan.

"Tindakan selanjutnya akan diambil bagi mengesan dan merakam percakapan pemilik kenderaan iaitu seorang wanita.

"Selain itu, tindakan segera dijalankan bagi mengesan suspek untuk siasatan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Ahad, tular insiden seorang lelaki bertindak memaki hamun sebuah kenderaan dinaiki pasangan suami isteri di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE).

Video berdurasi 57 saat itu tular di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!