Tolak watak lelaki lembut demi isteri
AKTOR berbakat besar, Wan Hanafi Su memberitahu dia bersedia membawakan apa sahaja watak, kecuali lelaki lembut atau mak nyah.
Jelas seniman berusia 69 tahun itu, dia membuat keputusan itu sebagai menghormati permintaan isterinya.
"Saya tidaklah cerewet dalam pemilihan watak. Kalau tidak terikat dengan penggambaran biasanya saya tidak menolak untuk berlakon.
"Tapi selepas kontroversi babak ranjang dalam filem Laga, isteri saya kata, dia tak kisah saya bawa watak apa pun, asalkan bukan lelaki lembut.
"Saya ada tanya dia kenapa, tapi dia tak jawab soalan saya. Namun saya hormati permintaannya itu dan setakat ini belum ada lagi tawaran membawakan watak lelaki lembut," ujarnya ketika ditemui selepas tayangan filem terbaharu lakonannya, Bu di Mutiara Damansara, semalam.
Filem yang turut dilakonkan Remy Ishak, Nadia Brian, Nadiya Nissaa, Rashidi Ishak, Mawar Rashid dan Tia Sara itu akan menemui penonton di pawagam bermula 11 April ini.
Ditanya adakah dia bersedia andai perlu sekali lagi menjayakan babak ranjang, Wan Hanafi berkata, ia bergantung kepada niat pengarah.
"Dalam filem Laga, babak ranjang itu diwujudkan sebagai sesi pembelajaran. Kalau untuk manfaat saya sedia mempertimbangkannya.
"Tapi kalau untuk pronografi, melariskan filem dan tidak ada keperluan, maka saya tolak untuk melakukannya," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!