Bukan lagi masa saling bercakaran

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TULAR baru-baru ini di laman sosial kejadian seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia berkonfrontasi dengan orang awam yang akhirnya membawa kepada tindakan pertukaran jabatan serta-merta dikenakan terhadap pegawai terlibat.

Menurut siasatan awal, insiden yang berlaku di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall di Shah Alam pada 10 Ogos lalu berpunca daripada provokasi oleh orang awam berkenaan yang hadir untuk membuat pasport.

Difahamkan juga, orang awam tersebut yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun naik berang kerana tidak mendapat layanan sewajarnya sehingga tercetus perang mulut dengan pegawai terbabit.

Namun sepertimana termaktub dalam Etika Perkhidmatan Awam sebagai seorang penjawat awam yang terlatih perlulah mengamalkan sikap tenang dan tidak mudah melatah dalam menghadapi situasi tegang seumpama itu.

Dengan kata lain, selaku penjawat awam perlu mengamalkan budaya kerja yang profesional dan tidak membiarkan emosi negatif mempengaruhi dirinya dalam melaksanakan tugasan harian agar penyampaian perkhidmatan menjadi cekap dan efisien.

Malah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud turut mengakui tindakan menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pegawai imigresen yang merupakan penjawat awam.

Katanya, pegawai imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap profesional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka telah diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi.

Insiden ‘memalukan’ itu bukan sahaja boleh memberikan persepsi buruk tetapi juga mencemarkan imej dan nama baik institusi perkhidmatan awam yang sepatutnya berkhidmat dengan penuh integriti untuk membantu memudahkan urusan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Tidak keterlaluan jika dikatakan imej yang baik adalah signifikan dan kritikal buat perkhidmatan awam yang merupakan tulang belakang dan pengantara antara kerajaan dan rakyat. Jangan hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Namun ini tidak bermaksud masyarakat awam boleh bertindak sesuka hati sebaliknya pada masa sama, masyarakat awam juga perlu memainkan peranan masing-masing.

Contoh mudah adalah dengan bekerjasama penuh serta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan apabila perlu menjalani sebarang urusan kerajaan.

Jika berlaku kesulitan atau timbul rasa tidak puas hati, berbicara dengan diplomasi dan bukannya bertegang urat dan saling memancing emosi sehingga akhirnya boleh membawa kepada situasi pertengkaran atau provokasi.

Bercakap soal emosi, harus diketahui ia amat berkait rapat dengan stres yang merupakan perasaan yang biasa dirasai apabila seseorang itu berasa tertekan misalnya di tempat kerja sekali gus menyebabkan diri gagal mengawal keadaan.

Sedikit stres adakala adalah baik untuk memotivasikan diri dalam mencapai sesuatu matlamat namun jika terlampau stres hingga tidak terkawal ia boleh memberi impak negatif terhadap mood, fizikal dan juga kesihatan mental.

Mungkin faktor stres itu jugalah yang menyebabkan berlakunya insiden melibatkan pegawai imigresen dan orang awam berkenaan, kita tidak tahu.

Tetapi apa yang pasti, kejadian jelik seperti itu perlu dielakkan di masa akan datang kerana ia tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya hanya mencalarkan imej pihak yang terlibat.

Seelok-eloknya, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 pada 31 Ogos kelak, kita seharusnya bersama-sama menyemarakkan tema tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama dan bukannya bercakaran antara satu sama lain.

Jangan disia-siakan perjuangan wira-wira merdeka yang telah berkorban jiwa raga dan nyawa demi membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dengan insiden yang boleh mencemarkan keharmonian dan kerukunan.

Di saat negara masih berada di landasan pemulihan susulan pandemik Covid-19, semangat bersatu padu itu amat diperlukan demi merealisasikan masa depan yang lebih terjamin untuk semua.

Semua rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama umpama aur dengan tebing yang saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain.

Persis kata semangat yang sering dilaungkan, mari kita buktikan, Malaysia Boleh!

*Liza Mokhtar ialah wartawan Sinar Premium

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!