Waspada penjajahan minda zaman moden
NEGARA akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-65 pada tahun ini iaitu tanggal 31 Ogos.
Namun, agak menyedihkan apabila sambutan ini tidak diambil peduli oleh semua rakyat Malaysia.
Ibarat tiada jiwa untuk pasang Jalur Gemilang biar pun sambutannya tidak sampai 10 hari lagi.
Merak Jalanan yang sering berulang-alik kerja ke ibu negara juga belum melihat kemeriahan yang amat ketara.
Kemeriahan dimaksudkan ini bukanlah sambutan merdeka dengan konsert atau seumpamanya tetapi penghayatan yang dibawa oleh masyarakat kita.
Bila Merak Jalanan lalu depan premis, rumah, bangunan-bangunan tidak kira hotel atau apa sahaja pun, boleh dikira berapa premis yang sudah memacak bendera ini.
Tiada pula kibaran gah jalur warna merah, putih, biru dan kuning ini.
Merak Jalanan tertarik dengan kata-kata seorang lelaki warga emas yang ditemui baru-baru ini. Usianya sekitar 60-an.
Katanya, zaman ini tidak sama macam dahulu. Kalau dahulu orang ramai semangat pasang bendera di rumah. Memang nampak semangat itu. Berebut lawan siapa paling banyak bendera.
Pendapat Merak Jalanan, generasi muda adalah pewaris pemimpin yang ada hari ini. Jadi, nilai terapan semangat dan sayangkan negara itu perlu ada.
Semaikan semangat kemerdekaan dalam jiwa, bukan hanya pada bulan Ogos, tapi setiap masa. Hargai perjuangan nenek moyang kita.
Sebenarnya apabila menyentuh isu bendera ini, Merak Jalanan memang agak terkejut apabila ada artis luar negara datang buat 'onar' pada konsert baru-baru ini dengan tayang bendera warna pelangi yang melambangkan penyokong hubungan sejenis.
Memang kecewa apatah lagi konsert itu dilangsungkan di stadium utama negara dalam bulan kemerdekaan.
Jadi, kita semua perlu berwaspada dengan doktrin penjajahan minda zaman moden.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!