Sultan Johor tidak tergesa-gesa ubah cuti hujung minggu

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu kepada Sabtu dan Ahad.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa, baginda mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri serta kepentingan rakyat.

“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.

“Buat masa ini saya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri serta kepentingan rakyat. Kerajaan negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah baginda.

Justeru, baginda bertitah agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.

“Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor,” titah baginda.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan di Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama di Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan dalam Negeri Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Artikel Berkaitan:

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!