Bola sepak Kelantan bakal terkubur?

AHMAD FAZLI
AHMAD FAZLI
A
A
A

PEMEGANG saham terbesar dalam syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd yang menguruskan pasukan bola sepak Kelantan, MyInspiration Sdn Bhd memutuskan membatalkan perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fazli Mohammad menjelaskan, keputusan itu dibuat setelah MyInspiration Sdn Bhd yang memiliki 70 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan tidak lagi boleh bekerjasama dengan badan induk bola sepak negeri itu.

“Bagi saya keputusan ini adalah muktamad kerana saya tidak boleh bekerja dengan Kafa. Pihak peguam saya sedang uruskan pembatalan perjanjian ini serta beberapa hal lain yang saya tidak boleh sebutkan.

“Saya rasa kami bukan mesin ATM (mesin juruwang automatik) dan cukuplah ihsan yang kami berikan kepada mereka. Kami tak ambil hak Kafa, kami datang untuk bantu dan sepatutnya pihak yang dibantu ini bantulah diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat setelah Kafa gagal mematuhi kontrak dengan menyerahkan kuasa penuh kepada KRW Sdn Bhd berdasarkan perjanjian ditandatangani kedua-dua pihak, pada 24 Januari lalu.

“Selepas perjanjian itu, Presiden Kafa, Bibi Ramjani (Ilias Khan) wajib menyerahkan kuasa penuh kepada KRW termasuklah akaun bank, buku cek, kontrak pemain Liga Premier, Piala Presiden dan Belia, kontrak penajaan dan lain-lain seperti terkandung dalam dokumen perjanjian.

“Sehingga 24 Mac, iaitu genap dua bulan kami hanya terima kontrak pemain untuk tiga pasukan berkenaan. Sebelum itu, pada 6 Mac ketika mengadakan pertemuan bersama Bibi Ramjani, Timbalan Presiden (Datuk Seri Afandi Hamzah), Naib Presiden (Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir) bersama peguam dan rakan kongsi kami, saya telah beritahu MyInspiration mahu tarik diri dan batalkan perjanjian kerana menunggu terlalu lama.

“Selepas perjumpaan itu kami masih memberi ruang kepada Kafa sehingga 24 Mac lalu. Namun Bibi Ramjani masih gagal menyerahkan dokumen penting termasuk akaun dan buku cek,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, apa yang beliau terkilan banyak pihak menuding jari kepada KRW Sdn Bhd di sebalik segala masalah yang membelenggu bola sepak Kelantan sedangkan Bibi Ramjani sendiri gagal menyerahkan akaun bank dan buku cek kepada pihaknya.

“Kami telah bertolak ansur begitu banyak daripada segi wang ringgit yang sepatutnya bukan tanggungjawab kami tetapi KRW. Berdasarkan senarai daripada Kafa, kami telah dahulukan RM300,000 sebagai pinjaman untuk bayar gaji pemain selain RM100,000 bagi bayaran lain.

“Selain itu, pembatalan ini juga dibuat kerana Kafa mengambil keseluruhan hasil jualan tiket perlawanan Kelantan menentang Sabah, pada 8 Februari berjumlah RM130,000. Sebenarnya Kafa tidak ada hak untuk ambil duit itu kalau ikut perjanjian dan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank KRW.

“Yang saya terkilan mereka (Kafa) tahu perkara sebenar tapi masih tuding jari kepada KRW sedangkan kita tidak ada keupayaan disebabkan kelemahan mereka, ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!