Lotus's Malaysia tawar 200 peluang pekerjaan

Suasana persekitaran di Mini Karnival Lotus's Malaysia Bersama Pusat Pungutan Zakat (PPZ).
Suasana persekitaran di Mini Karnival Lotus's Malaysia Bersama Pusat Pungutan Zakat (PPZ).
A
A
A

SHAH ALAM – Lotus's Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) menawarkan 200 peluang pekerjaan di 64 cawangan seluruh negara secara sepenuh masa atau separuh masa kepada rakyat di negara ini.

Ketua Sumber Manusia Lotus’s Malaysia, Alvin Low berkata, ini merupakan sesi pengambilan pekerja pertama dijalankan oleh Lotus’s Malaysia dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

“Menerusi kerjasama dengan PPZ, kita mengadakan kempen pengambilan pekerja untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia selain menawarkan faedah lain sebagai sebahagian daripada program komuniti #KitakanJiran.

“Dengan lebih daripada 200 kekosongan di stor, Lotus’s Malaysia menawarkan peluang pekerjaan sepenuh masa atau separuh masa dengan lima hari waktu bekerja seminggu untuk 64 cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia kepada warganegara melalui Mini Karnival Lotus’s bersama PPZ,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selaras dengan tema Merdeka Lotus’s Malaysia iaitu ‘Bangga Melangkah Bersama’, Alvin berkata, kempen berkenaan memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup selain maju bersama-sama sebagai sebuah komuniti.

“Ini termasuk warga emas dan orang kurang upaya yang sering tidak dipertimbangkan untuk pekerjaan.

“Lotus’s Malaysia juga telah memperkenalkan program pengambilan pekerja untuk orang dalam parol di pusat pengedarannya agar mereka dapat menjadi ahli masyarakat yang produktif dan berkhidmat kepada komuniti,” ujarnya.

Menurutnya, dengan lima hari bekerja seminggu serta faedah-faedah kerja yang lain diharapkan akan menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi sebahagian dari Kru Ceria Lotus’s Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Peluang kerjaya di Lotus's Malaysia.
Peluang kerjaya di Lotus's Malaysia.

“Sebanyak 200 kekosongan akan diisi di seluruh stor kami dan pastinya akan membantu Lotus’s Malaysia untuk terus memberi pelanggan dengan pengalaman membeli-belah yang ceria setiap kali datang ke stor.

“Rakan sekerja baharu juga akan diberikan latihan dan pembangunan kerjaya sepanjang mereka bersama kami,” kata Alvin.

Alvin menambah, semua orang berhak mendapat peluang yang sama untuk mencari punca rezeki.

“Ageisme dan ableism malangnya merupakan kejadian yang biasa di tempat kerja dan sebagai sebuah organisasi yang inklusif, Lotus’s Malaysia mengalu-alukan warga emas dan orang kurang upaya untuk menyertai tenaga kerja di sini kerana tiada had fizikal dalam potensi pertumbuhan dan kemajuan diri,” jelas beliau.

Karnival mini ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi bual bicara, pemeriksaan kesihatan percuma bersama Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) dan kaunter Zakat bergerak daripada PPZ di mana orang ramai boleh berkunjung untuk sebarang pertanyaan.

Kempen pengambilan pekerja Lotus’s akan terus berlangsung di wilayah tengah, utara dan selatan Semenanjung Malaysia bermula 25 Ogos ini.

Stor-stor yang mengambil bahagian termasuk Lotus’s Kepong, Lotus’s Ara Damansara, Lotus’s Kajang, Lotus’s Tanjung Pinang, Lotus’s Penang E-Gate, Lotus’s Seberang Jaya, Lotus’s Melaka, Lotus’s Nilai, dan Lotus’s Desa Tebrau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!