Beruang matahari jantan cedera terkena jerat dawai
HULU SELANGOR - Seekor beruang matahari yang menjadi mangsa jerat haram di Ulu Bernam, di sini pada Jumaat lalu berjaya diselamatkan.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, beruang matahari jantan seberat 46.5 kilogram itu dikesan selepas menerima satu aduan awam sebelum sepasukan pegawai veterinar Perhilitan dikejarkan ke lokasi terbabit kira-kira jam 11.30 pagi.
Menurutnya, operasi turut disertai Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak.
"Sampai di lokasi mendapati seekor beruang matahari jantan telah terjerat dengan jerat besi yang digunakan untuk menjerat babi hutan.
"Dipercayai jerat itu dipasang oleh pemburu haram yang biasa menggunakan jerat dawai atau jerat besi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, beruang itu telah diberi rawatan akibat kecederaan di kaki sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
Katanya, Perhilitan sentiasa memantau kegiatan pemburu haram dan pemasangan jerat haram.
"Saya ingin memberi amaran bahawa Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) telah diluluskan pindaannya. Hukuman bagi kesalahan pemburuan haram amatlah berat dan tiada kompromi jabatan dalam menangani aktiviti ini," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!