Setiausaha Agung FAM letak jawatan
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM), menerusi satu kenyataan media pada Selasa, memaklumkan mengenai peletakan jawatan Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar..
Kenyataan media itu turut memaklumkan bahawa peletakan jawatan Mohd Saifuddin atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Din’ dalam kalangan pengamal media dibuat kerana beliau mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun menurut kenyataan media berkenaan, Mohd Saifuddin akan meneruskan perkhidmatannya di FAM sehingga 31 Ogos 2022.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 pada hari ini (Selasa), telah menerima peletakan jawatan tersebut.
“Pihak jawatankuasa turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Mohd Saifuddin atas khidmat cemerlang beliau selama bersama FAM, termasuk penganjuran perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023," kata kenyataan itu.
Untuk rekod, Mohd Saifuddin, 61, sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa pada 1 September 2021 bagi menggantikan Stuart Ramalingam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!