Axiata, Versa Networks jalin kerjasama sedia teknologi SASE
AXIATA Group Berhad (Axiata) bekerjasama dengan syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Versa Networks bagi menyediakan teknologi Secure Access Service Edge (SASE) untuk mendigitalkan perusahaan di Asia dengan pantas.
Sebagai rakan kongsi Versa Networks ACE, unit B2B (perniagaan-ke-perniagaan), Axiata Enterprise akan bekerjasama dengan Celcom di Malaysia dan XL Axiata di Indonesia untuk melancarkan penyelesaian komprehensif Versa SASE yang merangkumi rangkaian, keselamatan dan integrasi akses awan kepada pelanggan perusahaan di pasaran masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Enterprise, Dr Gopi Kurup berkata, perkongsian bersama Versa Networks itu akan mengukuhkan lagi cadangan Axiata Enterprise dalam memperkasakan organisasi di seluruh rantau menerusi peningkatan pendigitalan.
"Kekuatan bersama dalam teknologi, keupayaan dan jangkauan merentasi pasaran Asia meletakkan kami (Axiata dan Versa Networks) sebagai rakan kongsi transformasi tepat kepada perusahaan yang mahu mengguna pakai aplikasi serta data berasaskan teknologi awan dalam mempercepatkan pemulihan pasca pandemik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu beliau berkata, peningkatan ketersambungan, integrasi dan keselamatan adalah penting untuk memastikan akses perniagaan tidak terganggu.
"Inovasi Versa SASE menyepadukan keselamatan, rangkaian, SD-WAN dan analitik untuk menyediakan rangkaian dan keselamatan kepada perusahaan secara selamat dan boleh dipercayai.
"Ini dapat dilakukan melalui penggunaan pintu masuk jenis awan yang boleh mengedar dan memunggah dengan lancar antara rangkaian pejabat persendirian dan internet untuk mengakses perkhidmatan awan lain," katanya.
Sementara itu Naib Presiden Versa Networks, Tony Fallows berkata, syarikat itu akan bekerjasama dengan Axiata untuk mengembangkan lagi Versa SASE ke pasaran ASEAN dan Asia Selatan.
"Axiata, Celcom dan XL Axiata akan dapat menyediakan SASE integrasi penuh dan lengkap dengan ciri Versa terkemuka dalam industri untuk menyokong pendigitalan dalam pasaran serantau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!