LCS: Kerugian lebih RM890 juta disebabkan penyelewengan pengurusan
SHAH ALAM - Pemuda UMNO berpandangan kerugian lebih RM890 juta yang ditanggung oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) disebabkan oleh salah urus dan penyelewengan pihak pengurusan yang gagal melakukan proses sewajarnya membabitkan isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros berkata, ini termasuklah beberapa pembayaran yang dibuat tanpa mendapat mandat dan kelulusan lembaga pengarah.
Selain itu katanya, kebocoran dana dan penyelewengan peruntukan membabitkan isu LCS itu adalah disebabkan oleh kelemahan aspek governan, tadbir urus dan pengurusan projek.
Menurutnya, penglibatan beberapa individu yang sama dalam semua peringkat pembuat keputusan dan jawatankuasa penting berkaitan pelaksanaan projek LCS turut menjadi punca berlaku penyelewengan.
"Keberadaan individu yang sama di setiap peringkat pemantauan dan pelaksanaan projek menyebabkan wujudnya situasi percanggahan kepentingan, selain tidak wujud elemen semak dan imbang serta menggugat aspek integriti serta akauntabiliti aspek perolehan, pelantikan vendor atau pengeluaran produk tulen (OEM) bagi projek LCS ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelas Noor Azleen, apabila semua elemen berkenaan tidak wujud, pelaksanaan projek LCS terdedah kepada risiko salah guna kuasa, penyelewengan dan pecah amanah oleh pembuat keputusan di peringkat pengurusan.
"Dalam misi kita untuk mencari kebenaran, maka wajarlah orang ramai memanfaatkan sebaiknya laporan dan dokumen penting berkenaan projek kontroversi LCS yang kini berstatus umum ini.
"Janganlah membiarkan minda dan pemahaman kita tentang isu ini ditentukan oleh mereka yang bertujuan untuk menghasut," tegasnya.
Beliau dalam pada itu turut menyifatkan apa yang diceritakan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai isu LCS sejak beberapa minggu ini bukan sebuah pembongkaran baharu olehnya.
"Rafizi hanya menceritakan semula secara terpilih berdasarkan laporan dan dokumen berstatus rahsia yang beliau telah terima lebih awal.
"Dalam erti kata lain, beliau tidak berhasrat untuk bercakap benar dan sengaja menjadikan isu LCS ini untuk membangkitkan sentimen bermain persepsi sekali gus meraih laba politik," katanya.
Tegas Noor Azleen, dapatan audit forensik juga telah membuktikan beberapa perkara penting iaitu tidak ada campur tangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Pertahanan dalam penentuan pembayaran yang dibuat kepada syarikat-syarikat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!