KUSKOP umum koperasi sekolah sebagai federasi ketujuh
KUALA SELANGOR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengumumkan penubuhan federasi (gabungan) sekolah di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada masa terdekat.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, penubuhan koperasi itu selaras usaha kerajaan untuk mempelbagaikan perniagaan kepada warga sekolah serta komuniti.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 2,463 koperasi sekolah di seluruh negara yang dianggotai seramai 1.9 juta ahli.
"Pada masa ini, kita ada enam federasi dan koperasi sekolah adalah federasi ketujuh yang diharap dapat merancang dan menaik taraf koperasi sekolah ke tahap lebih baik pada masa depan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kuiz Koperasi Daerah Kuala Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang di sini pada Selasa.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, peranan federasi itu nanti mempunyai jawatankuasa sendiri yang ahlinya terdiri daripada seluruh koperasi sekolah.
Selain itu katanya, koperasi sekolah juga berperanan dalam meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.
Noh memberitahu, penubuhan federasi koperasi sekolah turut mendapat peruntukan daripada kementeriannya bagi mengembangkan lagi perniagaan koperasi.
"Lebih penting penubuhan ini dapat menggabungkan semua koperasi sekolah di bawah satu bumbung," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pertubuhan enam federasi koperasi berperanan memperkasa pergerakan koperasi yang giat menjalankan aktiviti di bawah enam sektor ekonomi.
Sektor terbabit adalah pemborongan dan peruncitan pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; perkhidmatan kewangan; perladangan; hartanah dan industri pembinaan serta pertanian dan industri asas tani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!