Ahmad Zahid beri salam
PUTRAJAYA - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempat melambai dan memberi salam ketika keluar dari pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya di sini pada Selasa.
Beliau sebelum itu dilihat hadir ke mahkamah kira-kira jam 3.30 petang untuk mendengar prosiding rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Susulan keputusan itu, Najib diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Tidak lama kemudian, Ahmad Zahid dilihat keluar menaiki Toyota Vellfire warna putih kira-kira jam 5.40 petang.
Ahmad Zahid sempat melambai ketika dipanggil para penyokong di luar mahkamah sebelum memberi salam dan berlalu pergi.
"Assalamualaikum," ujarnya.
Sebelum itu, panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.
Pimpinan UMNO rakam simpati
Naib presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid merakamkan simpati kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahdzir berkata, meskipun nasib Ahli Parlimen Pekan itu kini berubah, jasa dan khidmat beliau dalam UMNO dan negara tidak dapat dinafikan
“'Justice hurried is justice buried' adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.
Saya secara peribadi merasa amat simpati terhadap Dato' Sri Mohd @NajibRazak dan seluruh ahli keluarganya.
— Mahdzir Khalid (@MahdzirKhalid) August 23, 2022
Sebagai rakan seperjuangan dalam UMNO, apa sekalipun yang berlaku, jasa dan khidmat bakti beliau kepada UMNO dan negara sebelum ini, sama sekali tidak boleh dinafikan.
Turut sama merakamkan simpati, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau menyifatkan kes tersebut tidak akan berhenti setakat hari ini sahaja, tetapi akan terus diulas kerana rakyat juga sedang menghakimi.
“Diharap beliau dan keluarga terus tabah,” katanya di Twitter.
DS Najib ingatkan saya agar bersama #rakyat, rakyat, rakyat. Slogan utama beliau #RakyatDidahulukan.
— Ahmad b Maslan (@ahmadmaslan) August 23, 2022
Perjuangan #1Malaysia beliau utk harmoni semua bangsa & negara ini maju dengan rakyat berpendapatan tinggi. Perjuangan yg baik akan berterusan. Adil & tidak zalim jadi pegangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!