Tiada kelibat penyokong Najib di Penjara Kajang
KAJANG - Tiada penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat hadir di Penjara Kajang di sini berikutan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman dan sabitan terhadapnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Setakat jam 8 malam, wartawan daripada beberapa media dilihat berkumpul di sepanjang pintu masuk penjara tempat Najib diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Walaupun suasana sunyi, pihak berkuasa dilihat memasang halangan kawat berduri berhampiran pintu masuk.
Tiada penjelasan diberikan mengenai sebab pemasangan halangan terbabit.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.
Susulan keputusan itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!