Faktor pasif politik, Undi18 mampu ubah pola undi PRU15

Noor Nirwandy (kanan) ketika dalam program Wacana Sinar Edisi ke-362 bertajuk Najib ke Penjara: Apa Nasib BN? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Noor Nirwandy (kanan) ketika dalam program Wacana Sinar Edisi ke-362 bertajuk Najib ke Penjara: Apa Nasib BN? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Faktor masyarakat pasif politik dilihat dapat memberi kelebihan kepada parti-parti gergasi termasuk BN untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, masyarakat pasif politik disifatkan kurang berminat dengan isu-isu melibatkan politik melainkan berita-berita semasa.

“Disebabkan itu, pola pengundian (pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka) tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akhirnya kemenangan itu dilihat menjadi milik BN dengan margin yang besar serta kemenangan yang selesa.

“Dalam keadaan masyarakat pasif politik dan mengambil kira salah satu bentuk pola pengundian pada ketika itu, berkemungkinan kita akan melihat perkara yang sama sekiranya PRU15 berlaku.

“Jadi, sekiranya ia berlaku, maka ia juga akan berpihak kepada dominasi parti gergasi seperti BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar Edisi ke-362 bertajuk Najib ke Penjara: Apa Nasib BN? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut diundang menjadi panelis adalah Ketua Program Sains Politik, UKM, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor, manakala Nani Roslan sebagai moderator.

Ujar Noor Nirwandy, selain faktor tersebut, faktor utama lain iaitu Undi18 juga dilihat memberi perubahan kepada jumlah pengundian PRU15.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga kini jumlah pengundi muda adalah seramai 5.8 juta yang berdaftar secara automatik dan berkemungkinan memberi tentangan besar kepada parti besar termasuk BN.

“Ia kerana situasi pasif politik itu akan bertukar kepada aktif politik. Apabila berlaku suasana aktif politik, maka tsunami undi muda ini akan menentukan pola pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!