Dulu ambil upah lipat kain, kini raih pendapatan lumayan

Che Noorfaezah bersama sijil penghargaan yang diperoleh sempena Majlis Graduasi Mekar Kuala Nerus, baru-baru ini.
Che Noorfaezah bersama sijil penghargaan yang diperoleh sempena Majlis Graduasi Mekar Kuala Nerus, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bermula dengan hanya mengambil upah melipat pakaian dan mengemas rumah, seorang suri rumah kini berjaya mengubah nasib keluarga dengan meraih pendapatan empat angka hasil mengusahakan perkhidmatan urutan.

Che Noorfaezah Mat Nasir, 38, berkata, usaha mengubah nasib keluarga bermula selepas menyertai program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar) anjuran Yayasan Petronas pada 2020.

"Sebelum ini, hasil pendapatan mengambil upah lipat pakaian dan mengemas rumah yang saya dapat dalam RM100 sebulan. Jarang sebenarnya saya dapat merasa pegang duit RM100.

"Saya bersyukur kerana nasib kami sekeluarga banyak berubah. Saya juga mampu meraih pendapatan RM5,000 sebulan hasil perkhidmatan mengurut," katanya.

Dengan bermodalkan hanya RM10 untuk membeli minyak panas di sebuah pasar raya, ibu kepada empat cahaya mata itu nekad menjalankan perkhidmatan urutan dari rumah ke rumah.

Katanya, peluang yang ada itu tidak disia-siakan malah dia berhasrat untuk mengorak langkah lebih jauh demi membantu suami menyara keluarga.

"Pada mulanya guru pembimbing program Mekar menyasarkan untuk saya mendapat 10 pelanggan pada bulan pertama.

"Disebabkan perkhidmatan yang memuaskan, pada bulan pertama saya berjaya mendapat 17 pelanggan dan terus meningkat sehingga 80 pelanggan setiap bulan. Saya juga pernah mendapat RM250 sehari dengan jumlah pelanggan kadang kala menjangkau lima orang sehari.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur kerana kehidupan bertambah stabil malah saya juga dapat memenuhi keperluan anak-anak sama seperti orang lain," katanya yang tidak menetapkan upah mengurut sebaliknya menerima pemberian seikhlas hati dari pelanggan.

Che Noorfaezah kini menyediakan perkhidmatan urutan di rumah serta turut menghasilkan minyak urutan menggunakan ramuan tradisional yang diwarisi daripada bapanya.

Katanya, bapanya, Mat Nasir Sulaiman, 85, terkenal dalam bidang urutan pada era 1990 an.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, program Mekar berjaya mencapai matlamatnya apabila 35 daripada 45 peserta telah mencapai sasaran bulanan yang ditetapkan.

Beliau berkata, ia termasuk peningkatan pendapatan peserta secara kolektif melebihi 100 peratus.

"Produk lima peserta Mekar juga berjaya menembusi beberapa pasar raya, hyper market serta platform perniagaan dalam talian.

"Sepanjang mengikuti program selama setahun, setiap peserta dibekalkan dengan kemahiran pengurusan perniagaan seperti pengenalan kepada asas perakaunan seperti percukaian, penyediaan penyata untung rugi, merekod aliran tunai harian dan perbelanjaan," katanya.

Jelas beliau, program Mekar merupakan komitmen berterusan Yayasan Petronas dalam menyokong usaha kerajaan membasmi kemiskinan di kalangan golongan B40 di beberapa negeri terpilih di negara ini.

"Kita turut berkolaborasi bersama Yayasan MyKasih dengan kerjasama agensi pembangunan keusahawanan tempatan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu dan Amanah Ikhtiar Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!