Insiden di Hawaii cerminkan sikap sebenar Najib

Tangkap layar ciapan Tom pada Selasa
Tangkap layar ciapan Tom pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengarang bersama buku skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ‘Billion Dollar Whale’, Tom Wright mengimbas kembali salah satu kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sebuah kedai jam jenama mewah di Ala Moana Center, Hawaii pada 2014.

Tom berkata, insiden yang berlaku di Honolulu, Hawaii itu disifatkan sesuai bagi mencerminkan sisi sebenar bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.

Menceritakan mengenai peristiwa tersebut, kata pengarang buku itu, pada ketika itu Najib melawat bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Hawaii, namun terpaksa pulang ke Malaysia kerana berlakunya bencana banjir besar di Malaysia.

“Isterinya (Datin Seri Rosmah Mansor) marah kerana (perkara tersebut) memendekkan cutinya.

“Jadi Najib membawa Rosmah ke kedai jam tangan mewah untuk membelikannya barang kemas bernilai 130,000 dolar, sebagai hadiah hari jadi,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Selasa.

Ulasnya, Najib menggunakan kad kredit yang ketika itu dijaga oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, di mana ia dibayar menggunakan wang dana negara.

Tambah beliau, salah satu barangan yang dibeli adalah sebuah jam tangan mewah bernilai RM583,491 iaitu 130,000 dolar yang didakwa antara pembelian tersebut menggunakan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Tambah Tom, maklumat mengenai penyata kad kredit milik Najib itu telah dibocorkan oleh seorang sumber dan mereka melihat penggunaan kad berkenaan di sebuah kedai jam tangan mewah di Hawaii.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat dua kedai di Honolulu, Hawaii. Saya telah dihalau dari kedai yang pertama kerana bertanyakan soalan.

“Kemudian kami mendapat transkrip mesej telefon Jho Low, yang menunjukkan dia menghantar mesej dengan Najib mengenai masalah kad kredit di kedai jam tersebut.

“Dan kami mempunyai dokumen bank lain yang menunjukkan kad Najib dibiayai daripada 1MDB,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!