Kemalangan bongkar aktiviti penyeludupan migran
BESUT - [DIKEMAS KINI] Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Tok Dor, Jertih, di sini pada Selasa membongkar kegiatan penyeludupan 10 migran warga Myanmar.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan jenis Perodua Alza terlelap ketika dalam perjalanan untuk menghantar migran tersebut ke Gambang, Kuantan.
Beliau berkata, susulan kemalangan itu, suspek yang berusia 34 tahun bersama seorang penumpang dibawa ke bahagian kecemasan Hospital Besut manakala penumpang lain dipercayai warganegara Myanmar melarikan diri.
"Hasil siasatan, suspek mendedahkan dia dihubungi seorang lelaki warga Thailand yang meminta untuk membawa 10 warga Myanmar dari Ladang Kelapa Sawit Ciku 3 di Gua Musang, Kelantan untuk dihantar ke Gambang, Kuantan dengan upah sebanyak RM1,200.
"Bagaimanapun, kegiatan itu gagal setelah suspek bersama kumpulan migran itu terlibat kemalangan," katanya di sini pada Rabu.
Abdul Rozak berkata, tiga lelaki warga Myanmar yang melarikan diri dari lokasi kemalangan berjaya ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis manakala enam lagi masih diburu.
"Polis turut merampas empat biji pil dipercayai pil kuda dan enam telefon bimbit masing-masing dua milik suspek serta empat daripada migran warga Myanmar itu.
"Perodua Alza yang digunakan suspek dibawa ke Bahagian Traffik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kerana mengalami kerosakan," katanya.
Menurut Abdul Rozak, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan 15(1)(a) ADB. Hasil ujian saringan urin ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Suspek akan ditahan reman selama 28 hari di bawah seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 manakala warga asing ditahan selama 14 hari di bawah Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63 Akta 155," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!