JKN Kedah siasat isu pembedahan pesakit ditunda

Dr Othman
Dr Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sedang menyiasat punca sebenar berhubung isu penundaan pembedahan seorang pesakit di Hospital Kulim, baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, siasatan itu sebagai tindakan segera susulan hantaran ‘isu Hospital Kulim memang makin menjadi-jadi sekarang’ oleh seorang individu yang tular di media sosial, pada Selasa.

"Isu ini melibatkan penundaan pembedahan pesakit sebanyak tiga kali di Hospital Kulim dan siasatan awal mendapati aduan adalah mengenai seorang pesakit lelaki yang mengalami masalah ketulan (lump) di bahagian bahu.

"Nama pesakit telah dimasukkan dalam senarai pembedahan elektif tetapi ditunda beberapa kali bagi memberi laluan kepada pembedahan kes-kes yang memerlukan pembedahan segera,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Dr Othman berkata, pihak pengurusan hospital telah menghubungi pengadu melalui panggilan telefon dan menerangkan situasi sebenar.

"Pihak pengadu telah menerima penjelasan dengan baik dan seterusnya bersetuju untuk memadamkan hantaran berkenaan dan JKN Kedah juga mengakui kesulitan dihadapi oleh pesakit akibat penundaan pembedahan itu dan memohon maaf kepada pesakit dan keluarga,” katanya.

Dr Othman berkata JKN Kedah dan Hospital Kulim sedang meneruskan siasatan dan akan mengambil tindakan penambahbaikan yang berkesan agar isu seumpama itu tidak berulang dan proses kerja janji temu bagi pembedahan menjadi lebih lengkap serta mesra pelanggan.

Beliau berkata, Hospital Kulim adalah sebuah Hospital Berpakar Major mempunyai tiga bilik bedah dan dalam tempoh pemulihan perkhidmatan sekarang, kes-kes yang memerlukan pembedahan segera dan kecemasan akan diberi keutamaan.

Artikel Berkaitan:

"Kes-kes yang memerlukan pembedahan segera dan kecemasan yang tertangguh dalam tempoh pandemik Covid-19 lalu akan diberi keutamaan berbanding kes-kes lain,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!