Naib Canselor UUM tidak pernah berhasrat bertanding PRU15
SINTOK - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah memaklumkan, beliau tidak pernah menyatakan hasrat kepada mana-mana pihak mengenai kesediaannya untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bahagian Komunikasi Korporat UUM dalam satu kenyataan berkata, fokus utama Haim Hilman kini adalah membangunkan dan memajukan universiti tersebut bagi merealisasikan visi institusi pengajian itu, Menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka.
"Beliau juga mahu bekerja bersama warga universiti dalam misi UUM iaitu mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global," menurut kenyataan tersebut, pada Rabu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengulas laporan berita pada 7 Ogos lalu oleh BN Selangor yang akan mempertaruhkan tiga calon ahli pemikir atau 'think tank' pada PRU akan datang yang turut menyenaraikan nama Haim Hilman.
Sinar Harian melaporkan BN Selangor mempertaruhkan tiga calon ahli pemikir atau 'think tank' pada PRU akan datang dalam usaha membentuk saf kepimpinan bertaraf ahli strategik dan intelek di negeri itu.
Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, peranan ahli strategik sangat penting bagi mendepani pola baharu pengundi pasca PRU14 khususnya dalam kalangan pengundi berusia 18 tahun yang dipercayai masih dipengaruhi politik persepsi.
Menurutnya, tiga calon itu adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil; Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!