Ustaz, tiga warden didakwa bunuh dengan niat

Seorang ustaz dan tiga warden sebuah pusat pemulihan dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Rabu atas tuduhan membunuh seorang lelaki, minggu lalu.
Seorang ustaz dan tiga warden sebuah pusat pemulihan dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Rabu atas tuduhan membunuh seorang lelaki, minggu lalu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang ustaz dan tiga warden sebuah pusat pemulihan dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Rabu atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang juga penghuni pusat itu, minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh dan kesemua mereka mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Mengikut kertas pertuduhan, Nasri Wafi Jamaludin, 25, Noor Ashraf Ikhmal Jaafar, 22, Ahmad Anat Fairuz Anak, 27, dan Muhammad Luqmanulhakim Abdul Aziz, 20, secara bersama didakwa mencapai niat melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Muhamad Shahrul Samion, 25.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Pemulihan Darul Islah, Padang Asam, Padang Rengas, Kuala Kangsar jam lebih kurang 12.30 tengah hari sehingga 7.45 malam pada 17 Ogos 2022.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Tan Chak Seng.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna jingga kelihatan tenang sebaik dibawa keluar dari pekarangan mahkamah diiringi polis.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu lepas, polis mereman keempat-empat tertuduh bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tahanan dibuat selepas laporan bedah siasat mendapati, kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada serta otot dan tisu badan akibat trauma tumpul.

Pada hari kejadian, mangsa yang baru seminggu ditempatkan di pusat pemulihan itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik tetamu pusat berkenaan.

Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati, terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam di bahagian muka, mata kiri, dada, kedua-dua belah kaki dan tangan.

Sebelum kejadian, mangsa didakwa cuba mencederakan seorang warden menggunakan pisau ketika mahu melarikan diri namun berjaya ditangkap.

Mangsa berjaya ditenangkan selepas berlaku pergelutan dengan cara warden beberapa kali menumbuk pada bahagian badan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!