Tubuh NGO ajak golongan 'mak nyah' berubah

Mohd Khairolizan (kiri) dan Mohd Faizal (kanan) menerima sijil penghargaan pada Simposium Kaunseling Islam 'Pelangi Islam' di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar pada Selasa.
Mohd Khairolizan (kiri) dan Mohd Faizal (kanan) menerima sijil penghargaan pada Simposium Kaunseling Islam 'Pelangi Islam' di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Berazam mahu mengajak lebih ramai golongan 'mak nyah' berubah, menjadi pencetus kepada Mohd Khairolnizan Atan menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Kembara Hijrah Johor.

Mohd Khairolizan, 43, berkata, tanggungjawab mengajak ke arah perubahan bukan semata diletakkan di atas bahu pendakwah, sebaliknya individu yang mempunyai pengalaman dan pernah melalui zaman gelap itu perlu turut sama membantu.

Dia yang sebelum ini dikenali sebagai Kak Julia dalam kalangan mak nyah kini kembali ke pangkal jalan selepas hampir 25 tahun terjebak.

"Kekuatan saya adalah ALLAH SWT yang sentiasa memberikan petunjuk dan hidayah. Saya mahu mengajak lebih ramai ke arah kebaikan, pelajari ilmu agama dan seterusnya berubah.

"Disebabkan itu saya tubuhkan Pertubuhan Kebajikan Kembara Hijrah Johor. Kebahagian yang dikejar sebenarnya hanya boleh dirasai dengan mendekati ALLAH SWT," katanya ketika ditemui selepas Simposium Kaunseling Islam 'Pelangi Islam' di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar di sini, pada Selasa.

Mohd Fared (dua dari kiri) dan Nooh (kiri) dan Mohd Khairolizan (dua dari kanan) serta Mohd Faizal (kanan) berbual selepas Simposium Kaunseling Islam 'Pelangi Islam' di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar pada Selasa.
Mohd Fared (dua dari kiri) dan Nooh (kiri) dan Mohd Khairolizan (dua dari kanan) serta Mohd Faizal (kanan) berbual selepas Simposium Kaunseling Islam 'Pelangi Islam' di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar pada Selasa.

Pada majlis itu, Mohd Khairolizan diberikan sijil penghargaan yang disampaikan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, atas usaha aktifnya membantu golongan mak nyah negeri ini kembali kepada fitrah dan menjadi jambatan antara golongan itu dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Nooh Gadut.

Artikel Berkaitan:

Anak kedua dari 10 beradik ini berkata, sejak di bangku sekolah lagi, dia sudah gemar kepada perkara yang disukai wanita seperti berpakaian cantik dan berpewatakan lembut.

"Selepas tamat sekolah, saya dihalau dari rumah dan mula bekerja selepas itu. Saya kumpulkan wang untuk lakukan pembedahan implan, mencantikkan wajah dan pertukaran jantina.

"Setiap kali saya mahu teruskan pembedahan, ia tidak kesampaian selepas dua kali saya dirompak. Wang yang dirompak pula hampir RM50,000," katanya.

Mohd Khairolizan berkata kesedaran untuk kembali ke pangkal jalan timbul pada usia 35 tahun selepas bermimpi dirinya dibakar dan terselamat dengan meminta pertolongan ALLAH SWT.

"Saya dibakar atas api yang marak di dalam mimpi itu. Api semakin marak bila saya sebut nama kawan-kawan untuk minta tolong keluarkan saya dari api. Apabila saya minta pertolongan dari ALLAH api semakin padam.

"Sejak itu, saya mula membaca Al-Quran meskipun dengan lidah yang terbelit dan kaku kerana sudah lama tidak membacanya.

"Pada usia saya 38 tahun, saya dijemput ke Tanah Suci. Ketika itu keluarga mengajak saya mengerjakan umrah, ayah pula bermimpi bawa saya di tawaf di depan Kaabah," kata Mohd Khairolizan.

Sementara itu, Mohd Faizal Ismail@ Elias, berkata masyarakat terutama keluarga tidak menyisihkan ahli keluarga mereka yang baru berjinak atau terlibat dalam dunia 'mak nyah'.

Mohd Faizal yang sebelum ini dikenali sebagai Fiona dalam kalangan mak nyah, kini sudah berubah dan telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai seorang cahaya mata.

Katanya, sokongan isteri dan keluarga membuatkan dirinya kembali ke pangkal jalan dan mendekati diri dengan ALLAH SWT.

"Pada saya solat lima waktu itu cukup penting itu kunci perubahan. Selain itu kekuatan saya adalah isteri dan adik beradik dan keluarga mertua yang menerima saya dengan baik.

"Teruskan menyokong golongan mak nyah untuk berubah, bukan dengan desak atau paksa mereka. Saya yakin ramai yang mahu berubah dan ingin mendalami ilmu agama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!