Ustaz perlu ada kelayakan bercakap tentang hadis
SHAH ALAM - Penceramah, ustaz dan agamawan di negara ini diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya berceramah tentang hadis sekiranya tidak mempunyai ilmu yang cukup.
Ahli Jawatankuasa Lajnah Tahqiq Hadith Kementerian Dalam Negeri (KDN), Profesor Dr Rohaizan Baru berkata, ia penting agar hadis yang disampaikan kepada orang ramai itu tidak menyimpang dan diperakui kesahihannya.
"Jika anda nak meletakkan diri anda di tempat pembicara tentang hadis, pastikan anda ada kelayakan untuk bercakap tentang hadis. Ilmu hadis ini terlalu luas, bukan sesiapa sahaja boleh bermain dengan hadis.
"Kalau ingin menjadi seorang ustaz yang mahu mengajar hadis di surau atau masjid, pastikan anda betul-betul layak. Perlu diingat, untuk bercakap tentang hadis, bukan hanya baca dan faham hadis tersebut.
"Anda harus memastikan bahawa hadis itu adalah hadis yang betul-betul hadis. Hadis itu contohnya daripada sumber seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim atau hadis daripada mana-mana kitab yang tidak setaraf dengan kitab sahih sekalipun, misalnya hadis itu ada dalam Musonaf Abdul ar-Razak dan sebagainya. Paling tidak kita sudah ada sumber dan ia sudah memadai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Diskusi Hadis bertajuk Semak Sumber Hadis: Apakah Panduannya secara langsung di semua platform Sinar Harian selain turut disiarkan di Facebook Karya Bestari, QuranHour dan KDN pada Rabu.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama KDN Selangor dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu dikendalikan oleh Editor Kanan Penerbitan al-Quran Karya Bestari, Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamal.
Rohaizan turut menjelaskan seseorang ustaz itu juga perlu sentiasa merujuk kepada buku syarah hadis untuk memahami beberapa perkataan yang tersirat dalam ucapan Rasulullah SAW.
"Kita kena faham kepada ilmu Hadis Gharib dan Gharibul Hadis. Hadis Gharib adalah satu jenis daripada Hadis Ahad terbahagi kepada tiga bahagian iaitu: masyhur, 'aziz dan gharib.
"Gharibul Hadis pula ialah satu bidang di mana ulama menulis buku memberikan penerangan tentang beberapa perkataan yang sukar dalam hadis terutama yang membawa maksud lebih daripada satu. Jadi, apabila nak syarah hadis itu kepada orang ramai, maka ia berdasarkan ilmu yang betul," katanya.
Selain itu, seseorang ustaz atau penceramah itu juga perlu memahami tentang kontradik yang kadang-kadang berlaku dalam hadis.
"Contohnya, ada satu hadis nabi kata jangan, tapi ada hadis kata nabi buat. Dalam bab ini Imam Syafie adalah seorang tokoh yang hebat tentang Mukhtaliful Hadis.
"Beliau seorang sohibul mazhab dan dalam masa sama seorang muhaddith. Itulah kebanyakan ulama fiqah dahulu kerana mereka tahu tentang hukum hakam fiqah dan dalam masa yang sama mereka mengetahui ilmu hadis ini.
"Itu yang kita nak berlaku kepada agamawan di tempat kita. Mukhtaliful Hadis ini sangat penting untuk kita faham hadis, jika tidak berlakulah seperti yang berlaku hari ini (hadis palsu dan sebagainya)," katanya.
Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan pandangan orang yang mahir tentang hadis sebelum mempercayai tentang sesuatu hadis yang disebarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!