Sertai Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour kali ke-8 akan diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 tengah hari hingga 1 petang, 30 Ogos ini.
Imam Besarnya, Ustaz Nor Azamir Alias ketika dihubungi baru-baru ini berkata, pihak masjid sebagai penganjur lokasi tersebut memberi sepenuh komitmen bagi menjayakan program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.
“Pihak masjid sangat mengalu-alukan apa jua program yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat seperti Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan sinergi.
“Kita memberi kerjasama dengan menyediakan tempat di ruang solat dan kemudahan yang sedia ada di masjid. Ruang tersebut boleh memuatkan seramai 8,000 hingga 10,000 orang dalam satu masa.
“Memandangkan kita masih mengambil langkah berjaya dalam fasa peralihan ke endemik Covid-19, setiap hadirin diwajibkan memakai pelitup muka," katanya.
Menurut beliau, seramai 90 staf dan pekerja masjid akan bersama dan membantu urusan persiapan Malaysia #QuranHour di sepanjang program tersebut.
“Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menjadi lokasi perdana bagi program #QuranHour selama tiga tahun berturut sejak 2016 dan masuk kali keempat pada tahun ini," katanya.
Tambah beliau, Surah Al-Sajdah yang menjadi surah pilihan bagi Malaysia #QuranHour ini amat bersesuaian untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap al-Quran.
“Surah Al-Sajdah sering dibacakan oleh imam pada solat Subuh hari Jumaat. Ini boleh menambahkan penghayatan surah tersebut dan memaknai dalam solat. Surah tersebut menceritakan asal usul diri kita dan kebesaran ALLAH SWT.
“Kemuncak pengabdian manusia adalah sujud kepada ALLAH. Itulah waktu paling dekat kita dengan-Nya.
“Di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merancang untuk membina lelaki Qawwam dengan asas al-Quran. Sementara itu, pelbagai program pengajian agama yang dianjurkan oleh Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.
Malaysia #QuranHour di bawah naung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Nu Ideativ, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.
Orang ramai dialu-alukan untuk sertai Malaysia #QuranHour di lokasi perdana dengan mendaftar di https://bit.ly/KEHADIRANMQH1444H atau di lokasi masing-masing di https://bit.ly/RegMQH1444H.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!