Ahmad Samsuri minta Najib kuat semangat, sabar

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap bersabar susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman bersalah terhadap bekas pemimpin itu.

Beliau secara peribadi menyatakan harapan, agar Najib tidak hilang semangat dan menghadapi ujian dilaluinya dengan tenang.

"Ini pendapat peribadi saya kerana Pas masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi lagi.

"Kepada yang menerima hukuman, diharap sabar menerima ujian. Kuatkan semangat dan hadapilah dengan tenang.

"Banyak ruang-ruang waktu yang ada nanti boleh mengembalikan semangat walau dalam suasana yang sangat berbeza," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 Yayasan Terengganu di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman bersalah terhadap bekas perdana menteri itu.

Katanya, mereka yang berada di luar (keluarga) perlu meneruskan kehidupan walau apa sahaja ujian yang melanda.

"Bagi kita yang masih berada di luar, masih sihat dan tidak menerima bencana sebegitu, hendaklah merencana dengan terbaik dalam apa juga keadaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!