'Semangat, daya juang Najib tetap membara'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO akan terus bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menghadapi perbicaraan kes lain di mahkamah bagi menjamin Ahli Parlimen Pekan itu mendapat keadilan dan tidak menjadi mangsa tekanan politik.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi UMNO, keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa sama sekali tidak dapat memadamkan jasa besar Najib kepada negara.

Menurutnya, Najib sebagai Perdana Menteri yang telah membawa negara ke mercu kejayaan dan meletakkan Malaysia di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU14, akan tetap membara.

"Kepada seluruh ahli UMNO, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

"Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan terdahulu dalam pelantikan hakim dan perjalanan sistem perundangan negara," katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Tambah Zahid, UMNO melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan perbicaraan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"UMNO merasa amat terkilan kerana proses dan ruang untuk mantan Perdana Menteri mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!