Anwar puas hati prestasi menteri, timbalan menteri PKR
KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau berpuas hati dengan prestasi menteri dan timbalan menteri dari parti itu dalam pentadbiran kerajaan baru.
Meskipun berpuas hati, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan beliau akan terus memantau mereka bagi memastikan semua dapat berkhidmat dengan baik.
“Mereka cuba lakukan yang terbaik tapi sudah semestinya kita akan pantau, bincang untuk pastikan mereka berkhidmat dengan baik.
“Setakat ini, saya berpuas hati dengan prestasi mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Tambahnya, beliau juga kerap kali menasihatkan mereka supaya sentiasa bersikap positif ketika menjalankan tugas.
“Aduan ada dan saya selalu nasihatkan mereka supaya positif. Secara keseluruhan, saya puas hati,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan kemenangannya dalam laman sosial, Anwar berkata beliau berhak berbuat demikian.
Begitupun, Anwar menegaskan keputusan rasmi hanya akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR 2018 dan beliau perlu menghormati proses itu.
“Dia ada hak nak sebut dan dia tahu yang umumkan nanti adalah JPP dan kita perlu hormat proses ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!